Pada Selasa, Qatar mengumumkan negaranya berjaya menjadi pengantara perjanjian antara Israel dan Hamas yang akan membolehkan bantuan kemanusiaan, termasuk ubat-ubatan dihantar kepada orang awam di Gaza, lapor Agensi Anadolu.
Perjanjian itu merupakan usaha bersama antara Qatar dan Perancis, kata jurucakap Kementerian Luar Qatar Majid bin Mohammed Al Ansari kepada Agensi Berita Qatar (QNA).
Al Ansari menyatakan bahawa bantuan kemanusiaan itu dijadualkan dihantar ke bandar El Arish, Mesir pada Rabu dengan menggunakan dua pesawat Angkatan Tentera Qatar sebelum dijangka tiba di Semenanjung Gaza.
Menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin, sekurang-kurangnya 24,285 rakyat Palestin terkorban, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak manakala 61,154 lagi cedera sejak serangan Israel ke atas kawasan yang terkepung itu pada 7 Okt tahun lalu.
– Bernama