Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Puad Zarkashi meluahkan rasa tidak senang dengan penjelasan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkaitan kejatuhan harga ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Puad berkata Rafizi hanya “mencari salah” dan menjaja “cerita basi” dengan mengaitkannya dengan skandal 1MDB ketika era Najib Razak sebagai perdana Menteri.
Sedangkan, katanya, ringgit mengukuh semula pada 2017 sehingga pilihan raya umum 2018.
“Formula Rafizi paling jahanam ialah ‘Najib turun ringgit naik’.
“Rupanya sejak Najib turun ringgit makin turun sebanyak 24.1 peratus berbanding dolar AS,” katanya.
Mengulas kenyataan Rafizi dalam program bual bicara Yang Bakar Menteri, Puad sempat menyindir timbalan presiden PKR itu.
“Rakyat Malaysia tidak marah pada Rafizi. Mereka tidak akan bakar dia.
“Menteri akan terbakar sendiri jika terus temberang,” katanya.
Beza kejatuhan dulu dan sekarang
Sementara itu, Rafizi ketika mempromosikan rancangan bual bicaranya berkata, kejatuhan ketara nilai ringgit bermula dalam tahun 2015 akibat kebimbangan pelabur dan pasaran ekoran skandal 1MDB.
“Hakikatnya, walaupun ada turun naik antara 2015 hingga sekarang, nilai ringgit tidak pernah mengukuh ke peringkat sebelum skandal 1MDB meletup.
“Itu beza di antara kejatuhan ketara (pada masa itu) dalam tahun 2015 dan sekarang,” katanya.
Katanya, kejatuhan harga ringgit sebelum ini berbeza kerana pasaran global tidak mengalami kelembapan ekonomi dunia dan ketidaktentuan di negara-negara kuasa ekonomi dunia seperti Amerika Syarikat dan China
Dia juga berkata nilai ringgit tidak pernah pulih sepenuhnya dari kejatuhan ketara 2015.