Seorang remaja lelaki yang dicurigai cuba merompak pemandu e-hailing pada Isnin lepas, telah mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut di Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini.
Tertuduh berusia 13 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan majistret Khairatul Animah Jelani.
Menurut pertuduhan, remaja tersebut dituduh cuba merompak Lee Ang Hie, 65 tahun, di kawasan tepi jalan Taman Keladi, Sungai Petani kira-kira jam 6 petang pada 27 Nov lalu.
Berdasarkan pertuduhan itu, dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.
Mahkamah membenarkan remaja itu diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Jan depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya Amirul Halimi Md Salleh, manakala Duratul Ain Mahmud Morshidi dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan mewakili remaja itu.
Anak sulung daripada empat beradik tersebut hadir ke mahkamah dengan diiringi ibu bapanya.
Sebelum ini, satu klip video yang memaparkan tindakan seorang remaja cuba menikam pemandu e-hailing yang dipercayai sebagai cubaan samun dalam kenderaan di Taman Keladi di sini, pada Isnin lepas, menjadi viral di laman sosial.
Walau bagaimanapun, pemandu e-hailing yang merupakan seorang warga emas berusia 65 tahun tidak mengalami kecederaan kerana beliau sempat menggigit tangan remaja tersebut dan merampas pisau daripadanya sebelum remaja itu melarikan diri.
Remaja tersebut ditahan kira-kira dua jam selepas laporan polis dibuat oleh mangsa pada jam 8 malam pada hari kejadian.
– Bernama