SIDANG Dewan Rakyat minggu kelima akan membincangkan hala tuju kerajaan berhubung sistem Pengecaman Frekuensi Radio (RFID) di lebuh raya negara. Afnan Hamimi Taib Azamudden dari PN-Alor Setar akan mengemukakan soalan berkaitan perkara ini kepada Menteri Kerja Raya. Beliau juga berminat untuk mengetahui usaha kementerian dalam meningkatkan sistem kutipan tol bagi memastikan kelancaran penggunaan lebuh raya.
Dr Wan Azizah Wan Ismail dari PH-Bandar Tun Razak pula meminta Menteri Sumber Manusia menjelaskan langkah-langkah yang diambil untuk menangani ketidakpadanan kemahiran sebagai faktor utama yang menghalang pekerja berpindah ke negara yang berpendapatan tinggi.
Selain itu, Saifuddin Abdullah dari PN-Indera Mahkota ingin Menteri Ekonomi menjelaskan status pelaksanaan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital).
Seterusnya, sidang Dewan Rakyat akan meneruskan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di peringkat jawatankuasa selepas rang undang-undang tersebut diluluskan pada peringkat dasar pada hari Khamis lalu dengan sokongan majoriti.
Berdasarkan takwim parlimen, perbahasan terhadap rang undang-undang di peringkat jawatankuasa akan berlangsung selama 12 hari dari 9 hingga 27 November.
Belanjawan 2024 dengan tema Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 13 Oktober lalu melibatkan peruntukan sebanyak RM393.8 bilion. Ini adalah belanjawan tertinggi dalam sejarah Malaysia.
Persidangan Dewan Rakyat yang sedang berlangsung ini akan berlangsung selama 32 hari bermula dari 9 Oktober.
Sumber: Bernama