Jam tangan Rolex milik bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Mohamad untuk disumbangkan kepada Palestin mendapat tawaran tertinggi RM135,000 apabila proses bidaan ditutup pada jam 12 tengah malam tadi.
Dia yang juga bekas mufti Wilayah Persekutuan mengumumkan keputusan itu menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
“Bidaan jam Rolex untuk Palestin telah tamat. Terima kasih kepada pembida yang telah membida.
“Semoga Allah ganjari niat yang murni dengan balasan selayaknya. Jumlah bidaan yang tertinggi adalah RM135,000,” katanya.
Dia juga memaklumkan akan bertemu dengan pemenang bidaan tersebut petang ini.
Isnin lalu, Zulkifli mengumumkan bahawa jam tangan kurniaan Raja Saudi itu dibuka untuk bidaan dengan harga permulaan sebanyak RM40,000 dan hasil jualan akan disumbangkan sepenuhnya kepada rakyat Palestin yang menderita akibat kekejaman rejim Zionis.
Katanya, tindakan itu selaras dengan titah DYMM Al-Malik Salman Abdulaziz supaya untuk sentiasa bersederhana, mengutamakan perpaduan ummah dan memartabatkan agama.
Zulkifli berkata jam tangan itu diterimanya pada 2017 telah lama berada dalam simpannya dan dibuka kotaknya pada 2021.
Menurutnya, ketika itu, dia diminta oleh kerajaan Malaysia selaku mufti Wilayah Persekutuan untuk mewakili semua para mufti dan para ulama Malaysia dan menyampaikan ucapan di hadapan Raja Saudi itu.