Perdana Menteri Anwar Ibrahim dikatakan bersedia untuk melakukan rombakan kabinet secara besar-besaran dalam masa terdekat apabila timbul desas desus mengenai kemungkinan perkara itu.
Menurut satu sumber terdekat Jabatan Perdana Menteri (JPM), Anwar sedang merangka rombakan kabinet yang termasuk menukar ketua-ketua setiausaha (KSU) beberapa kementerian.
“Dengan berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam Negeri, kerajaan terus stabil berbanding propaganda yang dicanangkan oleh Perikatan Nasional (PN). Ini termasuklah sokongan Sabah dan Sarawak yang terus kukuh,” kata sumber tersebut.
“Perdana Menteri kini fokus pada kerajaan untuk menjalankan dasar-dasar utama seperti Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Bajet 2024 pada bulan Oktober, polisi tenaga, dan kos sara hidup,” tambahnya.
Dengan itu, Anwar akan melakukan rombakan kabinet yang melibatkan KSU, anggota birokrasi, kakitangan awam, dan mungkin termasuk pejabat beliau sendiri.
Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan spekulasi mengenai rombakan kabinet untuk menggantikan Menteri yang tidak berprestasi.
Laporan tersebut juga mendakwa rombakan itu akan melibatkan ketua setiausaha dan ketua pengarah di beberapa kementerian.
Sementara itu, sumber tersebut berkata rombakan ini akan dilakukan oleh Anwar untuk memperkemaskan usaha penambahbaikan dalam komunikasi kerajaan.
“Misalnya, jentera hebahan atau penerangan dilihat tertinggal berbanding dengan PN. Proses rombakan masih dalam peranancangan. Ia akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya.