Pelarasan tarif air baru untuk pengguna domestik di Terengganu adalah minimum dan tidak membebankan, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Ahmad Samsuri berkata sebanyak 73.8 peratus pengguna domestik yang secara purata menggunakan hingga 40 meter padu air sebulan hanya akan mengalami kenaikan purata antara RM1.80 hingga RM7.16 sebulan mengikut jumlah penggunaan, susulan kenaikan tarif air bermula 1 Feb ini.
“Kadar kenaikan berkenaan adalah paling rendah,” katanya kepada Bernama hari ini.
Bagaimanapun, Ahmad Samsuri berkata kerajaan Negeri akan meneruskan pemberian subsidi dan inisiatif kepada pengguna domestik seperti disarankan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) ketika mengumumkan pelarasan tarif air baru itu, Rabu lepas.
Dia berkata bantuan atau inisiatif yang diberikan oleh operator bekalan air Negeri iaitu Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu) kepada pengguna domestik ketika ini adalah pemberian subsidi 20 meter padu kepada pengguna golongan B40.
“Pemberian subsidi ini melibatkan 11,832 akaun dengan kos tanggungan sebanyak RM1,176,180 setahun.
“Jumlah nilai pemberian air percuma oleh kerajaan Negeri ini sebenarnya meningkat daripada RM8.40 kepada RM10 sebulan untuk setiap akaun penerima. Peningkatan kos ini bagaimanapun akan diserap dan ditanggung kerajaan Negeri,” katanya sambil menggalakkan mereka yang layak dan belum memohon supaya membuat permohonan.
Pada masa sama, dia berkata pemberian subsidi air juga akan diteruskan kepada masjid dan surau berdaftar melibatkan 1,883 akaun dengan kos tanggungan bernilai RM1.4 juta setahun, menjadikan RM2.5 juta setahun ditanggung kerajaan Negeri bagi tujuan itu.
Menurut Ahmad Samsuri kenaikan purata 22 sen bagi setiap meter padu seperti yang diselaraskan Span adalah masih tidak mencukupi untuk mengatasi kenaikan kos operasi sejak kali terakhir tarif air di Terengganu disemak pada 1997.
Namun, katanya ia akan membantu Satu dalam menampung kos operasi serta meneruskan usaha menambah baik tahap perkhidmatan kepada sejumlah 341,546 akaun dengan 83 peratus daripadanya adalah pengguna kategori domestik, setakat November 2023.
Span pada Rabu lepas mengumumkan pelarasan tarif air baharu bagi pengguna kategori domestik di seluruh Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan akan dilaksana bermula 1 Feb ini, dengan kenaikan itu disifatkan suruhanjaya berkenaan sebagai tidak lagi boleh ditangguhkan agar tidak menjejaskan kemampanan jangka panjang perkhidmatan air negara.
-Bernama