Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor semalam mengambil kesempatan memohon maaf di hadapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa Menteri Kabinet pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI peringkat Kedah.
Muhammad Sanusi berkata permohonan maaf itu adalah bagi ucapan yang kurang sesuai dalam konteks ‘hablumminannas’ selama beliau berkhidmat sebagai Menteri Besar Kedah dan atas kapasiti politik.
“Sebagai insan yang lemah, keterlanjuran dan kesilapan pastinya ada dalam diri kita masing-masing.
“Semoga pertemuan dalam bulan Syawal yang mulia ini akan menjadi asbab untuk kita mulakan lembaran baharu serta sama-sama melangkah dengan hati yang bersih, ikhlas dan bertanggungjawab,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Beliau juga berkata kepentingan rakyat harus mengatasi keghairahan untuk mengekalkan kuasa politik dan segala perkara yang bersifat politik sepatutnya hanya dibawa ke medan politik.
Muhammad Sanusi juga berharap Kerajaan Persekutuan sentiasa memberikan perhatian dan tidak meminggirkan Kedah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri yang telah memberikan perhatian kepada projek-projek pembangunan terutama di kawasan luar bandar Kedah.
Majlis itu turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, beberapa Menteri Kabinet serta kira-kira 15,000 orang.
– Bernama
Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!