Suara Malaysia
ADVERTISEMENTFly London from Kuala LumpurFly London from Kuala Lumpur
Sunday, October 6, 2024
More
    ADVERTISEMENTFly London from Kuala LumpurFly London from Kuala Lumpur
    HomeNewsHeadlinesSanusi sengaja mahu lengah prosiding, kata pendakwaan

    Sanusi sengaja mahu lengah prosiding, kata pendakwaan

    -

    Fly AirAsia from Kuala Lumpur

    Pihak pendakwaan dalam kes Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang berdepan dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan, membantah permohonan pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan kes itu di Mahkamah Sesyen Selayang.

    Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd Daud berkata tindakan pihak pembelaan memfailkan notis usul pada 11 Jan lepas untuk memindahkan kes ini ke Mahkamah Tinggi Shah Alam, bukan suatu alasan yang perlu dipertimbangkan bagi menangguhkan perbicaraan.

    “Pemfailan notis usul dibuat pada saat-saat akhir semasa kes ini sudah menghampiri tarikh bicara menunjukkan sikap tertuduh (Muhammad Sanusi) sengaja mahu melengah-lengahkan perbicaraan, sedangkan semua tarikh perbicaraan itu dipersetujui oleh pihak-pihak di mahkamah ini.

    “Tertuduh (Muhammad Sanusi) didakwa di mahkamah pada 18 Julai tahun lepas dan pembelaan mempunyai masa enam bulan untuk memfailkan notis usul berkenaan.

    “Pihak pendakwaan juga telah menyerahkan dokumen berkaitan kes kepada pembelaan pada 4 Okt lepas. Dokumen yang diberikan bukan banyak, ada 11 dokumen sahaja. Kes membabitkan Menteri Besar Kedah ini berprofil tinggi yang sememangnya mendapat perhatian umum di seluruh negara,” kata Masri semasa sebutan kes itu di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin hari ini.

    Mahkamah sebelum ini membenarkan permohonan Muhammad Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Kedah untuk menangguhkan perbicaraan kes itu yang sepatutnya bermula hari ini dan esok, atas alasan ke luar negara untuk tugasan rasmi.

    Tarikh-tarikh lain perbicaraan ialah pada 5, 8, 9, 12, 13, 15, 16, 19, 22, dan 23 Feb serta 11, 15 dan 18 Mac ini.

    Terdahulu, peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili Muhammad Sanusi memohon supaya mahkamah melapangkan perbicaraan yang ditetapkan pada 5 Feb ini sementara menunggu permohonan untuk memindahkan kes itu diputuskan di Mahkamah Tinggi.

    ALSO READ:  Jasmine Loo bantu polis kenal pasti aset RM93.2 juta milik 1MDB

    “Notis usul itu difailkan pada 11 Jan lepas dan salinan termeterai telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 15 Jan. Sekiranya notis usul dibenarkan, adalah suatu yang pelik untuk memanggil semula saksi yang telah dipanggil (untuk beri keterangan di Mahkamah Tinggi), jika prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen tidak digantung,” kata peguam itu.

    Menurut Awang Armadajaya, permohonan untuk memindahkan kes dibuat setelah meneliti segala dokumen yang diberikan oleh pihak pendakwaan.

    “Ia bukan isu dokumen banyak, tetapi kesan dan implikasi setiap dokumen pada perbicaraan seperti dokumen titah Sultan Selangor. Permohonan itu bukan sesuatu yang remeh, bersifat picisan atau dibuat atas alasan yang lemah tetapi ia menyentuh prinsip keadilan dalam permohonan jenayah,” katanya.

    Muhammad Sanusi didakwa telah menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada 11 malam, 11 Julai tahun lepas.

    Kedua-dua pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    – Bernama

    Suara
    Suarahttps://www.suara.my
    Tech enthusiast turning dreams into reality, one byte at a time 🚀

    Related articles

    Follow Us

    20,236FansLike
    1,158FollowersFollow
    1,051FollowersFollow
    1,251FollowersFollow
    ADVERTISEMENTFly London from Kuala Lumpur

    Subscribe to Newsletter

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.

    Latest posts