Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lagi mangsa insiden tanah runtuh di Kampung Raja, Blue Valley, Cameron Highlands ditangguh pada 7 malam ini akibat hujan lebat.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Md Gezani Md Ghazi berkata operasi itu akan disambung esok pada 7 pagi.
“Hujan lebat menyebabkan cuaca buruk dan struktur tanah menjadi tidak selamat dan berisiko.
“Kita sedang pastikan semua anggota SAR keluar dengan selamat dari kawasan runtuhan,” katanya kepada pemberita di Pos Kawalan Bomba di lokasi bencana itu petang tadi.
SAR bagi menyelamatkan mangsa dalam insiden malang itu sepatutnya diteruskan hingga 10 malam dengan kekuatan 84 anggota pelbagai agensi.
Terdahulu, dua daripada lima mangsa yang tertimbus berjaya ditemukan dan telah dibawa keluar dari kawasan runtuhan.
Pada kira-kira 2.40 pagi tadi, lima warga Myanmar termasuk seorang wanita dikhuatiri tertimbus selepas dua rumah pekerja yang dihuni kesemua mangsa ditimbus dalam insiden tanah runtuh itu.
Md Gezani juga berkata pasukan SAR akan melakukan perbincangan dalam mengatur semula gerak kerja bagi meneruskan operasi esok.
Beliau berkata selain meluaskan kawasan pencarian, operasi akan memfokus kepada sektor pertemuan dua mayat sebelum ini.
– Bernama