Sarawak ingin menjadi hub utama penerbangan seperti di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) apabila syarikat penerbangannya mula beroperasi nanti.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata status sebagai hub penerbangan dunia juga akan membuka peluang ekonomi yang besar bagi Negeri ini.
“Jika kita gunakan model itu (Dubai) kita boleh membawa lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat kita. Oleh itu, kita mahu ambil alih serta wujudkan syarikat penerbangan sendiri, bukan sahaja untuk mengimbangi harga pasaran tiket penerbangan malah untuk nilai tambah lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Hotel Sheraton Kuching, malam tadi.
Pada 20 Disember tahun lepas, Abang Johari berkata proses akhir pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings Sdn Bhd (MASwings) oleh kerajaan Sarawak dijangka dimuktamadkan pada suku kedua atau ketiga tahun ini.
Dia berkata pada masa ini proses penilaian wajar terhadap syarikat itu sedang giat dijalankan oleh Kementerian Pengangkutan Sarawak serta Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan bersama Kementerian Pengangkutan Persekutuan dan Khazanah Nasional Berhad.
-Bernama