Jumlah mangsa banjir yang direkodkan di Johor, Pahang dan Sabah tidak berubah sejak tengah malam tadi, iaitu 205 orang yang masih berlindung di lima pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini. Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melaporkan bahawa dua PPS di Segamat, Johor masih beroperasi dengan menempatkan 65 mangsa daripada 19 keluarga. Selain daripada itu, terdapat dua PPS di daerah Rompin, Pahang, yang menempatkan 110 mangsa daripada 36 keluarga, manakala di Sabah, 30 mangsa daripada 16 keluarga masih berada di sebuah PPS di Beluran. Di Sarawak pula, 30 mangsa daripada enam keluarga telah ditempatkan di sebuah PPS.
Kesemua mangsa banjir dari Kampung Lalang, Kampung Bungey dan Kampung Babu di Debak, yang terletak kira-kira 270 kilometer dari bandar raya Kuching itu ditempatkan di PPS Dewan Millenia yang dibuka pada 1.30 pagi tadi berikutan banjir yang melanda kawasan itu selepas hujan berterusan sejak semalam. Di samping itu, 38 mangsa daripada 12 keluarga juga masih berlindung di sebuah PPS yang beroperasi di daerah Kuching berikutan insiden kebakaran di Sarawak.
Tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai di Johor, Kedah, Perlis dan Terengganu berada pada paras bahaya setakat pukul 6 pagi. Sungai terlibat di Johor ialah Sungai Johor di Kota Tinggi dan Sungai Muar di Segamat, di Kedah (Sungai Kedah, Kota Setar), di Perlis (Sungai Arau) dan di Terengganu (Sungai Terengganu, Hulu Terengganu). NADMA turut memaklumkan sebanyak 17 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak dan tanah runtuh, antaranya Jalan Kuala Mentiga – Terapai di Pekan, Pahang, Jalan Bukit Jugra di Kuala Langat, Selangor dan Jalan Bukit Kayu Hitam – Bukit Tangga – Sintok di Kubang Pasu, Kedah. – Bernama