Seorang anggota polis berpangkat sarjan yang sebelum ini ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes rogol seorang pelajar tingkatan empat setahun lalu, kini direman sekali lagi bagi membantu siasatan kes rogol lain.
Hakim Juraidah Abbas membenarkan tahanan tersebut sehari selepas permohonan tersebut dibuat di Mahkamah Majistret di Batu Gajah hari ini.
Suspek berumur 42 tahun itu tiba di mahkamah kira-kira 8.30 pagi tadi, menggunakan van polis dan meninggalkan mahkamah pada kira-kira 10 pagi dengan kenderaan yang sama.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri mengesahkan suspek ditahan pada 28 Januari dan direman hingga 30 Januari lepas, sebelum disambung sehari lagi sehingga semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Suspek kemudian dibebaskan dengan jaminan polis dan ditahan semula semalam untuk membantu siasatan satu lagi laporan kes rogol.
Pada Rabu lepas, media melaporkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun mendakwa dirogol oleh seorang pegawai rendah polis berpangkat sarjan dalam kejadian berasingan pada bulan Julai dan Oktober tahun lepas.
Pelajar itu mendakwa dirogol di dalam sebuah kereta di dua lokasi berasingan, iaitu di hadapan balai polis dan di kawasan tempat letak kereta pasar raya dalam daerah Perak Tengah.
– Bernama