Pemikir dan sarjana Islam Eropah mencadangkan agar Malaysia mengambil inisiatif untuk merangka strategi yang berkesan dalam melawan Islamofobia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa perkara ini telah dibincangkan semasa pertemuan beliau dengan rakan-rakan pemikir dan sarjana Islam Eropah di Berlin, Jerman semalam.
Antara pihak yang terlibat dalam pertemuan tersebut adalah International Institute of Islamic Thought (IIIT), Arab World Institute dan Middle East and Mediterranean Research Centre (CERMOM).
“Saya telah menggunakan kelapangan waktu saya di Berlin untuk berbincang dan bertukar pendapat dengan rakan-rakan pemikir dan sarjana Islam Eropah,” katanya melalui catatan di Facebook hari ini.
Perdana Menteri menjelaskan bahawa dalam pertemuan itu, mereka juga membincangkan mengenai perananan sarjana dan cabaran baharu yang dihadapi berhubung dengan meningkatnya Islamofobia di Eropah pada masa kini.
“Kami juga telah membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengatasi masalah tersebut, terutamanya di wilayah barat,” katanya.
“Insya-Allah, saya bersama rakan-rakan akan terus menjadi penggerak utama dalam membanteras isu Islamofobia,” tambah beliau.
Anwar sedang menjalani lawatan rasmi selama enam hari ke Jerman yang bermula pada 11 Mac yang lalu.
– Bernama