Suara Malaysia
ADVERTISEMENTFly London from Kuala LumpurFly London from Kuala Lumpur
Monday, December 23, 2024
More
    ADVERTISEMENTFly London from Kuala LumpurFly London from Kuala Lumpur
    HomeNewsHeadlinesSATIRA | Kisah anak tikus bakar rumah sendiri

    SATIRA | Kisah anak tikus bakar rumah sendiri

    -

    Fly AirAsia from Kuala Lumpur

    Tersebutlah kisah di sebuah Negeri nun jauh di sana. Ada sebuah rumah yang di dalamnya tinggal satu keluarga besar sang tikus.

    Tiada manusia di dalamnya. Hanya komuniti tikus mendiami rumah itu. 

    Dalam keluarga besar tikus ini, si ayah tikus dikatakan sangatlah berkuasa, tetapi kadang-kadang mungkin perlu berkompromi demi kasih sayang terhadap anak-anak.

    Anak keluarga besar tikus ini sangatlah ramai. Dalam ramai-ramai anak tikus ini, ada yang sangat beriman, alim dan warak; ada yang ala kadar beriman dan sudah barang tentu ada yang nakal-nakal sedikit sebanyak.

    Uniknya, dalam keluarga besar sang tikus ini ada anak-anak tikus yang sangat suka bermain api. Apa juga benda yang ada kaitan dengan api, sesetengah anak tikus ini sangat suka menjadikannya subjek mainan.

    Tak kira apa pun – batang mancis, lighter hatta mercun atau bunga api – asalkan ada kaitan dengan api, sangatlah suka akan anak-anak tikus ini untuk jadikan ia bahan mainan.

    Rumah yang mereka diami sebenarnya taklah besar mana. Dan, apa yang bahayanya ialah rumah berkenaan sangat terdedah kepada risiko kebakaran, lebih-lebih lagi ketika cuaca panas.

    Apa tidaknya; rumah itu hanya diperbuat daripada batang jerami kering yang dicantum daripada persefahaman generasi lama yang belum tentu kukuh dan kekal pada sebarang masa.

    Rumah kecil ini pernah terbakar pada 1969. Ya, sangat lama dahulu. Ketika itu anak-anak tikus generasi terkini belum dilahirkan ke muka bumi ini.

    Walaupun ketika itu tidak keseluruhan rumah terbakar, peristiwa hitam itu kini dirakam sebagai sejarah perit sebuah keluarga rumah jerami.

    Berhempas pulas moyang keluarga tikus membinanya semula hari demi hari sehinggalah terbina semula sebuah rumah jerami seperti yang ada kini.

    Malangnya, anak-anak tikus generasi terkini tidak pernah tahu dan tidak pernah rasa betapa peritnya terbakar di dalam rumah sendiri yang sempit diperbuat daripada batang jerami.

    Justeru, setiap kali ada ruang dan peluang bermain api, sesetengah anak-anak tikus dalam keluarga besar ini sangatlah suka bermain api.

    ALSO READ:  Tiada keadilan iklim tanpa penglibatan wanita - Ili Nadiah

    Menariknya, kelompok tikus yang suka bermain api ini bukan sahaja di kalangan anak-anak tikus yang nakal-nakal, malah anak-anak tikus yang berperwatakan alim serta warak turut suka bermain api.

    Mereka sangatlah cenderung membakar batang jerami di dalam rumah sendiri.   

    Mereka jelas tampak seronok bermain api. Apa tidaknya, setiap kali mereka bermain api, sudah tentu ia berjaya menarik perhatian sekelian anak tikus lain seisi rumah jerami.

    Daripada tikus yang duduk di penjuru dapur hinggalah tikus yang berdiri di tiang seri, sebahagian besar mereka sangatlah suka tengok “permainan api”.

    Menariknya, ada sebahagian besar anak-anak tikus ini suka menjadi tukang posting dan tukang komen di media sosial komuniti tikus yang diizinkan di Negeri nun jauh di sana itu.

    Mereka kerap galak posting dan komen mengenai “pembakaran dan permainan api”.

    Dan, setiap kali detik api dinyalakan di dalam rumah jerami yang mereka diami, maka gegak gempitalah rumah kecil adunan jerami padi ini dengan suara sorak-sorai anak-anak tikus bermain api.

    Ya, malangnya anak-anak ini tidak sedar rumah mereka sangat mudah terbakar – rentung jadi arang, ranap jadi abu – jika api marak menyambar setiap ruang dan tiang seri rumah jerami.

    Mereka kadang-kadang alpa bahawa bukan sahaja rumah jerami pusaka moyang bisa lebur selebur-leburnya, malah anak-anak tikus ini sendiri akan rentung-hanyir di dalamnya.

    Dan, pada satu hari yang malang, tiba-tiba sekumpulan anak tikus yang bermain “hide and seek” di celah batang jerami di dalam rumah yang mereka diami, terjumpa sebatang mancis api.

    Hari itu cuaca sangatlah panas. Jerami rumah sangatlah garing sejak sekian lama – sangat mudah dimamah api. 

    Anak-anak tikus ini sangat girang kerana tidak semena-mena mereka terjumpa objek batang mancis yang mampu menghasilkan “kegemparan besar” dalam rumah mereka.

    ALSO READ:  King bestows 'Royal Professor' title on Syed Muhammad Naquib

    Nasib malang keluarga tikus seolah-olah sudah tersusun rapi. Ia teratur satu demi satu. Sebabak demi sebabak. Selepas terjumpa sebatang mancis, tiba-tiba anak-anak tikus ini terjumpa pula secebis helaian suratkhabar lama.

    Di atas helaian surat khabar lama itu tercetak sepotong tajuk “Amaran kepada ahli politik: Jangan bakar api perkauman”.

    Kebetulan anak-anak tikus ini memang pernah mengikuti kelas menulis dan membaca yang membolehkan mereka pandai membaca.

    Satu anak tikus lantas bersuara:

    “Hah, tengok ni, surat khabar ni bagi amaran kepada kita ni”.

    Lalu terpancul dari mulut satu anak tikus lain:

    “Tak. Kau ni tak faham bahasa Melayu ni. Kan dia tulis “ahli politik”. ahli politik ni bukan kita. Kita ni tikus. Tu ahli politik. Tak sama tu, apa la kau.”.

    “Dah tu ahli politik tu menatang apa?” lantas tanya satu anak tikus lain.

    “Sendiri mau ingatlah kahkahkah,” bentak anak tikus pertama tadi. Semua anak tikus gelak besar ramai-ramai berdekah-dekah. Gegak-gempita seisi rumah jerami.

    Serentak itu juga sekumpulan anak tikus yang sejak tadi memegang batang mancis terus menggeselkan dengan kuat beberapa kali batang mancis itu pada helaian kertas surat khabar berkenaan.

    Tak semena-mena terpancullah api menyala membakar helaian kertas surat khabar berkenaan. Maka gelak ketawalah sekelian anak tikus.

    Maka bertambahlah gegak-gempita segenap isi ruang di dalam rumah jerami.

    Malang seribu kali malang, sedikit demi sedikit api dari surat khabar mula menyambar jerami yang membentuk struktur rumah keluarga tikus.

    Anak-anak tikus mula menjadi panik. Mereka saling memandang satu sama lain dengan pandangan takut serta cemas. 

    Api mula marak di sana sini di dalam seluruh rumah jerami. Hanya dalam sekelip mata, rumah jerami terbakar dari segenap penjuru. 

    Tiada ruang dan celah untuk lepas keluar. Panik dan penyesalan sudah tidak berguna lagi.

    Pada detik ini, si ayah tikus yang dikatakan sangat berkuasa dan berpengaruh, juga tidak mampu berbuat apa-apa. Api sudah berada di mana-mana. Rumah dan api sudah menjadi satu.

    ALSO READ:  U.S. dollar ticks down

    Maka dalam waktu yang sangat singkat, semua ahli keluarga tikus terbakar hangus-rentung di dalam rumah jerami itu. 

    Ikut terbakar, selain anak-anak tikus pemain api, ialah ibu dan ayah tikus serta semua anak tikus yang alim lagi warak, juga anak tikus yang baik-baik.

    Ternyata rumah jerami ini tidak mampu menghadapi kebakaran kali kedua selepas kebakaran kali pertama pada 1969. 

    Kisah anak tikus bakar rumah sendiri ini juga akan kekal terpahat sebagai satu lagi momen sejarah keluarga tikus.

    Rentung jadi arang, ranap jadi abu.

    Selang beberapa hari kemudian, datanglah sekumpulan gagak hitam yang baik hati di tapak kebakaran rumah jerami keluarga tikus itu. 

    Kumpulan Gagak ini mengambil keputusan memajak papan tanda buat kenang-kenangan di atas tapak yang sudah jadi abu.

    Maka pacaklah akan si gerembolan gagak pada papan tanda itu mengandungi ayat keramat bertulis “Carilah kebijaksanaan dalam menegakkan hak dan akidah!”.

    NOORDIN ZAKARIA terlibat dalam bidang penulisan, penterjemahan, kewartawanan, percetakan, dan penerbitan selama lebih 30 tahun.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Suara
    Suarahttps://www.suara.my
    Tech enthusiast turning dreams into reality, one byte at a time 🚀

    Related articles

    ADVERTISEMENTFly London from Kuala Lumpur

    Subscribe to Newsletter

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.

    Latest posts