Mufti Perlis Asri Zainul Abidin mengatakan bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah memberi perakuan untuk meneruskan acara membincangkan pemikiran Yusuf Al-Qaradawi di ibu negara Ahad ini.
“YAB PM baru sahaja bercakap dengan saya bahawa program hendaklah diteruskan,” katanya menjawab soalan Malaysiakini sebentar tadi.
Asri bagaimanapun berkata dia tidak pasti perkembangan seterusnya dan masih menunggu tindakan penganjur.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan acara Pertubuhan Kebajikan Al-Qayyim Malaysia, NGO yang dikaitkan dengan Asri, ditangguhkan setelah ahli panelnya gagal mendapat tauliah khas Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.
Baca: Acara NGO dikaitkan dengan mufti tangguh kerana isu tauliah
Asri sebelum ini berkhidmat sebagai penasihat pertubuhan itu. Bagaimanapun tidak jelas sama ada dia masih memegang jawatan sama.
Berdasarkan poster, dia terlibat dalam acara membincangkan pemikiran ulama besar kontemporari Islam kelahiran Mesir yang meninggal pada September tahun lepas itu.
Gambar Anwar juga dimuatkan dalam poster itu tetapi tidak jelas sama ada dia akan menyertainya atau tidak.
Anwar sendiri sangat menghormati Yusuf Al-Qaradawi yang dirujuk sebagai sahabat dan pakar rujuknya dalam isu-isu agama.