Bekas perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyatakan kesediaannya untuk bertemu dengan Menteri Perpaduan, Aaron Ago Dagang.
Ia selepas Aaron memberi penegasan bahawa pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan pihak yang sengaja mencipta ketegangan.
Mahathir berkata pihak yang asyik bercakap tentang masyarakat majmuk tetapi mengkritiknya berkait isu bangsa perlu bertanya kenapa wujud parti-parti berasaskan kaum di negara ini.
“Kenapa tidak cuma wujud parti Malaysia. Ada parti yang dakwa mereka parti multiracial tetapi bekas pemimpin mereka kata parti itu fake multiracial, iaitu palsu.
“Saya sedia jumpa dengan Menteri Aaron Ago Dagang seperti yang dia cadang. Saya harap dia datang,” katanya hari ini dalam ciapan di media sosial X (dulu dikenali sebagai Twitter).
Semalam Malaysiakini melaporkan Aaron bersedia berjumpa dengan Mahathir jika pemimpin veteran itu terus meluahkan isu-isu sensitif yang boleh memecahbelahkan perpaduan antara kaum.
Aaron berkata demikian ketika mengulas kenyataan Mahathir yang mendakwa orang India di Malaysia tidak sepenuhnya setia kepada negara kerana mereka masih terikat” dengan negara asal.
Terdahulu Mahathir dalam wawancara dengan TV dari India berkata seseorang itu harus bercakap dalam bahasa Melayu sebagai bahasa untuk menganggap negara itu sebagai negara sendiri.
Aaron juga menyatakan dia sendiri tidak jelas kenapa Mahathir membangkitkan perkara itu.