Artikel yang didakwa disiarkan Malaysiakini mengenai skim pelaburan yang disokong oleh Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz sebenarnya adalah palsu.
Artikel yang diterbitkan di laman web crudeprofimy.com itu mungkin penipuan pancingan data bagi menipu pengguna internet yang tidak berwaspada supaya menyertai pelaburan berkenaan.
Laman web itu menyerupai laman web Malaysiakini, tetapi tidak mempunyai kaitan dengan portal berita itu.
Portal berita itu juga tidak pernah mengeluarkan sebarang artikel yang memetik Tengku Muhammad Taufik menyokong platform pelaburan berkenaan.
Platform pelaburan yang didakwa dimiliki oleh Petronas itu juga didapati adalah skim palsu.
Pada 9 Mac, Petronas mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan bahawa Ketua Pegawai Eksekutifnya menyokong skim pelaburan tersebut dalam temu bual dengan akhbar Inggeris, The Star.
Artikel itu juga dipalsukan untuk kelihatan diterbitkan oleh The Star.
Ia turut disertakan dengan video palsu yang dijana oleh AI mengenai sokongan Tengku Muhammad Taufik terhadap skim berkenaan.
Petronas berkata pihaknya telah membuat laporan polis berhubung perkara itu.
Video itu bagaimanapun masih tersebar di YouTube sehingga minggu lalu.
YouTube telah menurunkan video itu selepas aduan dibuat Malaysiakini. Portal berita ini juga telah melaporkan laman web crudeprofimy.com sebagai laman web pancingan data melalui platform penyemakan imbas selamat, Google.
Video berkenaan dan pautannya tersebar di aplikasi WhatsApp dan media sosial.