Seramai 10 pakar penerbangan dari Amerika Syarikat (AS) sedang berada di lokasi nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) di Elmina, di Shah Alam hari ini untuk menjalankan siasatan punca nahas pesawat tersebut. Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim menyatakan bahawa kesemua mereka dijangka berada di negara ini selama tujuh hingga 10 hari agar dapat menyiasat punca nahas tersebut. Beliau juga menyatakan bahawa “Kesemua mereka tiba di negara ini semalam dan pagi ini sudah memulakan siasatan. Kita menjangkakan operasi membawa keluar bangkai pesawat akan selesai hari ini dan sekiranya tidak sempat, kita akan terus menempatkan anggota untuk memantau keadaan di lokasi kejadian kerana tidak mahu ada aktiviti yang di luar jangkaan,” katanya.
Mohd Iqbal memberitahu pemberita selepas melakukan tinjauan di lokasi kejadian bersama pegawai penyiasat Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kol Muhammad Abdullah. Beliau juga berkata lapan pegawai BSKU turut terlibat dalam penyiasatan nahas pesawat yang mengorbankan 10 individu tersebut. Tinjauan oleh Bernama mendapati bahawa kerja-kerja membawa keluar bangkai pesawat sedang dijalankan dan sebuah lori digunakan untuk membawa bangkai pesawat ke hangar di Subang untuk siasatan selanjutnya.
Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan memberi kenyataan bahawa laporan awal siasatan mengenai nahas pesawat yang mengorbankan 10 individu tersebut akan disediakan dalam masa 30 hari dari tarikh kemalangan udara itu berlaku. Siasatan teknikal berdasarkan Annex 13 – Aircraft Accident and Incident Investigation, International Civil Aviation Organisation (ICAO Annex 13), telah pun dimulakan oleh pasukan BSKU sejak tarikh kejadian itu berlaku.
Pada hari Khamis lepas, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina mengorbankan 10 individu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Datuk Seri Johari Harun. Mangsa yang terkorban terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan, manakala dua lagi merupakan orang awam, iaitu seorang penunggang motosikal dan seorang pemandu kereta yang melalui kawasan tersebut ketika kejadian berlaku.
Ketika insiden berlaku, pesawat malang itu sedang terbang dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada pukul 2:48 petang.
– Bernama