Serangan Amerika Syarikat ke atas Houthi di Yaman kini melibatkan lebih daripada 60 sasaran yang merangkumi 16 lokasi, menurut Pusat Tentera Udara AS dalam satu kenyataan media.
“Berdasarkan arahan dari Markas Pusat AS (CENTCOM), Markas Komponen Udara Bersama dan Sekutu telah melancarkan serangan ke atas lebih 60 sasaran di 16 lokasi yang disokong oleh Iran, termasuk pusat arahan dan kawalan, gudang peluru, sistem pelancaran, kemudahan pengeluaran dan sistem radar pertahanan udara,” menurut kenyataan itu yang dikeluarkan pada malam Khamis.
Lebih 100 munisi berpandu tepat daripada pelbagai jenis telah digunakan dalam serangan tersebut.
Amerika Syarikat dan United Kingdom telah melancarkan serangan udara sejak Khamis terhadap kedudukan Houthi di empat wilayah di Yaman termasuk ibu negara Sana’a dan bandar Al Hudaydah, Saada dan Taiz, kata pegawai kerajaan wilayah kepada Sputnik.
Pegawai AS dan UK telah mengesahkan serangan udara ini dan menyatakan bahawa ia bertujuan menyerang kemudahan dan kedudukan Houthi sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas kapal komersial di Laut Merah dan bukannya terhadap penduduk awam.
Houthi pula mendakwa bahawa mereka sedang melancarkan serangan ke atas pangkalan dan kedudukan tentera UK dan AS serta mengancam bahawa Washington dan London akan menerima akibat susulan kerana serangan besar-besaran ini.
– Bernama