Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin menuntut ganti rugi atau pampasan RM5 juta daripada ahli jawatankuasa penerangan Bersatu Badrul Hisham Shaharin berhubung hantaran di Facebook yang didakwa berunsur fitnah.
Dalam satu kenyataan petang ini, peguam yang mewakilinya, berkata ini adalah antara tuntutan yang disenaraikan dalam notis tuntutan yang dikeluarkan hari ini kepada Badrul, juga dikenali sebagai Chegubard.
Pada 6 Jan lalu, Shamsul membuat laporan polis terhadap Badrul berhubung dakwaan rasuah yang dilemparkan terhadapnya.
Menurut notis tuntutan itu, Shamsul memberi tempoh lima hari kepada Badrul daripada tarikh menerima surat berkenaan untuk membayar RM5 juta berhubung dakwaan fitnah tersebut.
Shamsul juga menuntut Badrul menarik balik hantaran di Facebook yang memfitnah itu dan membuat permohonan maaf tanpa syarat dalam akhbar atau media pilihannya.
Dia juga mahukan satu akujanji bertulis daripada pemimpin Bersatu itu untuk tidak mengulangi dakwaan berkenaan.
Peguam Shamsul dari firma guaman SN Nair and Partners berkata mereka mempunyai arahan untuk memohon satu perintah injuksi sekiranya Badrul gagal mematuhi tuntutan itu.
Malaysiakini sedang cuba menghubungi Badrul berhubung perkara itu.
Dalam catatan yang dimuat naik pada 5 Jan, Badrul berkata dia sedang mengumpul bukti dakwaan rasuah oleh Shamsul.
Dia mendakwa Shamsul, melalui staff dan proksinya, menggunakan sekutu politik mereka untuk agih dana bantuan NGO.
Tambah Badrul, dia akan mendedahkan butiran itu pada 8 Jan, termasuk menyerahkan bukti kepada pihak berkuasa.