Politik Sabah terus hangat dengan persaingan kuasa dengan perkembangan terkini menyaksikan dua daripada tokoh utama Negeri itu – yang sebelum ini bermusuh – menyatakan persetujuan membentuk kerjasama.
Kali ini Warisan akan bergandingan dengan Umno bagi menghadapi pilihan raya Negeri (PRN) untuk mengalahkan parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menjadi kerajaan.
Persefahaman itu diumumkan Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal, hari ini.
Berucap dalam perhimpunan agung tahunan parti itu di Kota Kinabalu, Mohd Shafie berkata langkah berkenaan sudah dipersetujui Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin.
Mengakui sebelum ini Warisan dan Umno berada di pihak yang bertentangan, Mohd Shafie turut mengingatkan hubungan dia dengan parti itu serta Bung Moktar bukanlah asing.
“Kita (Warisan dan Umno) bekerjasama atas dasar untuk membela rakyat Sabah.
âDia (Bung Moktar) pun rakan lama saya, saya pun bekas bos dia,” katanya.
Untuk rekod Mohd Shafie merupakan salah seorang pemimpin kanan Umno sebelum dia digantung dari parti itu semasa berlakunya krisis dalaman membabitkan Najib Razak.
Tidak tahu bila
Mohd Shafie – yang ketika itu menjadi naib presiden Umno – kemudian meninggalkan parti tersebut sebelum menubuhkan Warisan serta bekerjasama dengan PH menghadapi PRU ke-14.
Ekoran kekalahan Umno-BN di peringkat pusat dan Negeri, Mohd Shafie kemudian dilantik menjadi ketua Menteri sebelum berlaku cubaan menjatuhkannya.
Ia kemudian membawa kepada pilihan raya Negeri secara mengejut pada 2020 dan Warisan bersama PH gagal mendapat kerusi majoriti untuk membentuk kerajaan Negeri.
GRS merupakan gabungan tujuh parti secara rasmi namun pada asalnya dibentuk melalui hubungan di antara Bersatu-PN, BN dan Parti Bersatu Sabah.
Hajiji sendiri sebelum ini merupakan pengerusi Bersatu Sabah.
Mohd Shafie berkata dia turut mengajak dua parti komponen GRS, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk bekerjasama tetapi pelawaan berkenaan ditolak.
Sementara itu Bung Moktar yang turut hadir di majlis berkenaan bersikap lebih berhati-hati apabila memberitahu Umno tidak menolak kerjasama ditawarkan Warisan.
Dipetik Sinar Harian, Bung Moktar berkata kerjasama secara rasmi belum diwujudkan namun mengakui ia adalah faktor yang penting untuk menjayakan sesuatu matlamat.
“Sebenarnya saya di sini sebab dijemput oleh presiden sendiri (Mohd Shafie), jadi saya rasa tiada yang salah memandangkan Warisan juga sebahagian daripada kerajaan perpaduan.
“Kedua, kita pun mahu mengambil ilmu politik dari parti lain.
“Kerjasama itu mesti mahu ada, tetapi bila tidak tahulah,” katanya.
Berdasarkan PRN terakhir lalu, penggal Dewan Undangan Negeri Sabah hanya akan luput pada 2025, namun sudah menjadi kelaziman untuk ia dibubarkan lebih awal.
Hajiji sendiri baru-baru ini membayangkan PRN Sabah akan diadalan lebih awal dari 2025.