Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyita kad sim dan seunit telefon bimbit pengendali akaun media sosial MyNewsHub susulan memuat naik serta menyiarkan semula klip video lama yang mencetuskan kekeliruan dalam kalangan pengguna media sosial.
Video tular berkenaan merupakan video lama menampilkan sekumpulan audiens dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali yang melibatkan simulasi kesiapsiagaan anggota keselamatan sekiranya berdepan situasi serangan provokatif.
Memandang serius penularan video berkenaan, SKMM dalam kenyataan hari ini memaklumkan jabatan itu telah merakam percakapan pengendali akaun media sosial MyNewsHub di Ibu Pejabat SKMM di Cyberjaya kira-kira 8.40 malam pada Jumaat.
“Rakaman percakapan ini susulan tindakan suspek memuat naik dan memainkan semula klip video lama dengan teks yang menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pengguna media sosial,” kata SKMM sambil menambah kertas siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara selepas siasatan selesai.
Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
SKMM mengingatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian untuk menyebarkan sebarang kandungan tidak sahih atau palsu.
Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) semalam menjelaskan video simulasi berkenaan dikongsikan dengan niat memainkan sentimen negatif terhadap kerajaan.
-Bernama