Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini sebulat suara meluluskan usul menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin atas kekejaman dan kezaliman Zionis Israel.
Usul itu dikemukakan Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan dipersetujui sebulat suara tanpa bahas.
”Saya tidak bercadang untuk menambah lebih banyak memandangkan ucapan perasmian sidang DUN oleh Yang di-Pertua Negeri Ahmad Fuzi Abdul Razak telah mewakili pendirian tegas kerajaan Negeri yang prihatin terhadap isu Palestin.
”Saya menyeru dewan yang mulia ini untuk menunjukkan soladariti terhadap Palestin dan saya meneruskan usul ini tanpa perlu bahas,” katanya dalam sidang DUN hari ini.
Ketika berucap merasmikan sidang Pada 17 Nov lepas, Ahmad Fuzi menggesa agar semua tindakan keganasan, pembunuhan dan kezaliman yang berlaku ke atas penduduk Palestin ditamatkan dengan segera.
Ahmad Fuzi berkata konflik dan peperanangan yang masih berterusan telah mengakibatkan penderitaan yang besar kapada rakyat Palestin dengan orang awam khususnya golongan kanak-kanak dan wanita yang tidak berdosa terbunuh serta ramai yang kehilangan nyawa dan rumah kediaman mereka.
– Bernama