Kesatuan Kebangsaan Pemandu-pemandu Tren Semenanjung Malaysia (TDU) melancarkan kempen lencana untuk membantah tindakan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menghapuskan jawatan tertinggi dalam skim perkhidmatan pemandu lokomotif. Presiden TDU Badrul Khuzaini Hashim berkata pemandu tren diminta memakai lencana bertulis “KTMB mendiskriminasi pemandu tren” pada pakaian seragam sepanjang waktu bertugas. Katanya, kempen bantahan itu disambut baik oleh anggota kesatuan yang terdiri daripada pemandu tren sejak dimulakan pada 24 November lalu.
“Semua ahli kesatuan turut serta iaitu pemandu tren dari dua syarikat. Walaupun pemandu ERL (Stesen Express Rail Link) tak terlibat dengan KTMB sebab mereka syarikat lain, tetapi sebagai ahli kesatuan, mereka melaksanakan solidariti. Seratus peratus ahli (TDU) menyokong,” kata Badrul Khuzaini yang juga kakitangan KTMB.
Dia berkata, kesatuan telah menempah lebih 400 unit lencana untuk diedarkan. “Jika masalah ini tidak selesai, kesatuan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang lebih agresif berdasarkan peruntukan undang-undang yang dibenarkan kepada kesatuan sekerja,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini pada Isnin. Badrul berkata, sejak pertengahan tahun ini jawatan itu sudah dihapuskan dan baki penyandang jawatan itu hanya tinggal empat orang.
Dakwa Badrul, keputusan itu menyebabkan pemandu terpaksa bekerja lebih masa. “Jadi bermakna, akan berlakulah peningkatan kerja lebih masa bila kakitangan tak cukup,” dakwanya. Sementara itu, Badrul Khuzaini berkata jawatan baru kru peranancangan sistem (CPS) yang diperkenal tidak dapat menampung kekosongan perjawatan itu.
“Kerja hakikinya ialah hanya membuat jadual sahaja. Jadi bermakna di sini, pemandu-pemandu tidak ada penyelia terus,” katanya. Dia juga berkata TDU ada menghantar surat kepada beberapa kementerian terlibat namun tidak menerima sebarang maklum balas. Malaysiakini sudah menghubungi pegawai komunikasi strategik KTMB tetapi mereka enggan memberikan sebarang komen.