SPRM mempunyai petunjuk baharu mengenai keberadaan menantu bekas perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Muhammad Adlan Berhan, yang dikehendaki atas dakwaan rasuah.
Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, potensi lokasi Adlan dikesan melalui transaksi kad kredit milik ahli perniagaan itu dan mereka sedang mendapatkan bantuan daripada Interpol untuk mengesannya.
“Ada petunjuk baharu beliau berada di suatu tempat hasil daripada pemantuan kita terhadap penggunaan kad kreditnya. Beliau berada di beberapa buah negara, kita sudah memohon kepada pihak Interpol untuk mengesan.
“Tetapi dalam kes beliau, kita masih lagi mengesan dengan cara kita bagi tujuan untuk dituduh di mahkamah,”kata Azam yang dipetik oleh Berita Harian.
Dia berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan pejabat SPRM cawangan Gua Musang di Kelantan awal hari ini.
Selain Adlan, yang berkahwin dengan anak Muhyiddin, Nabilah, SPRM juga sedang memburu peguam Mansoor Saat, seorang tokoh penting dalam NERS Sdn Bhd.
Agensi pencegahan rasuah itu mendakwa mereka dikehendaki berhubung projek yang melibatkan pendaftaran dan penyimpanan maklumat biometrik untuk pekerja asing. Kedua-dua mereka melarikan diri dari negara pada Mei tahun lalu.
Susulan itu, SPRM telah meminta bantuan polis untuk meletakkan nama kedua-dua mereka dalam senarai notis merah Interpol.