Menteri Ekonomi Rafizi Ramli hari ini menjangka mekanisme subsidi sasaran yang sedang dirancang oleh kerajaan mungkin dilaksanakan pada suku kedua tahun ini.
Beliau yakin kerajaan akan selesaikan Pangkalan Data Pusat (Padu) dan persiapan lain menjelang suku pertama tahun ini.
“Saya fikir pada suku pertama kita akan menyusun data dan menyediakan, supaya pada suku dua kita bersedia untuk melancarkan,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Sebelum ini, Menteri itu diminta menganggarkan garis masa pelaksanaan subsidi bersasar kerajaan.
Menurut Rafizi, kementeriannya telah menyerahkan kertas kabinet mengenai mekanisme subsidi bersasar hari ini.
Kabinet akan membincangkan perkara itu dan membuat keputusan pada Rabu ini, jelasnya.
Rafizi bagaimanapun enggan menjelaskan lebih lanjut mengenai syor oleh Kementerian Ekonomi kepada kabinet.
Sebaliknya, beliau berkata semua butiran perlu diputuskan oleh kabinet terlebih dahulu sebelum perdana Menteri membuat pengumuman rasmi.