Syed Saddiq Abdul Rahman yang didapati bersalah atas empat pertuduhan berkaitan penyelewengan RM1.12 juta dana Pemuda Bersatu (Armada) hari ini berundur sebagai presiden Muda. Dia berkata jawatan itu kini akan disandang oleh bekas timbalan presiden Muda, Amira Aisya yang juga adalah Adun Puteri Wangsa. “Untuk menjadi presiden Muda…. seseorang pemimpin itu mesti lebih putih daripada putih. Dan hakikatnya, saya tidak layak lagi memainkan perananan itu. Saya akan mengosongkan kerusi saya dengan segera sementara saya membersihkan nama saya di mahkamah,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Muda di Petaling Jaya. Dia turut memaklumkan tidak akan terbabit dalam politik Muda sepanjang tempoh berdepan kes di mahkamah. Ahli Parlimen Muar itu dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.
Jika gagal membayar denda, Syed Saddiq, 30, boleh dipenjara empat tahun. Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula hari ini namun membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan. [Baca berita penuh]