Kerajaan Negeri telah mengalokasikan RM3.3 juta untuk mempercepatkan program Tahun Melawat Kelantan 2024 (TMK 2024), dengan menampilkan keaslian seni budaya dan warisan masyarakat tempatan melalui penyelenggaraan program bertaraf antarabangsa.
Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud menyatakan melalui Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, usaha tersebut menjadi pemacu utama dalam pembangunan sosioekonomi.
“Usaha ini akan dilaksanakan melalui penyelenggaraan program bertaraf antarabangsa dengan penglibatan dan kerjasama dari negara-negara Asia, Eropah, Timur Tengah dan lain-lain.
“Kerajaan Negeri memberi tumpuan untuk menggerakkan usaha secara menyeluruh ke arah mencapai kejayaan dalam merealisasikan hasrat supaya Kelantan menjadi destinasi utama pelancong di rantau ini,” katanya pada Majlis Pelancaran Tahun Melawat Kelantan 2024 di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, malam tadi.
Majlis tersebut dirasmikan Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra.
Mohd Nassuruddin menyatakan kerajaan Negeri yakin, Kelantan mampu menjadi salah satu penyumbang terbesar kepada industri pelancongan negara terutamanya melalui pembangunan ekonomi berunsurkan dan industri kreatif
“Usaha ini berasaskan kepada keterampilan, kemahiran, bakat dan potensi individu, untuk melahirkan ciptaan atau produk baru, termasuk industri kreatif, serta warisan budaya seperti batik dan kraftangan.
“Melalui penglibatan dan kerjasama strategik dari semua pemain industri termasuk rakyat Kelantan, kerajaan Negeri yakin TMK 2024 dengan tema ‘Keluarga, Makanan dan Festival’ akan mencapai sasaran kejayaan 10 juta pelancong ke Negeri ini,” katanya.
– Bernama