Suspek dalam insiden tembakan di KLIA pada Ahad lalu dipercayai membeli pistol memang untuk digunakan terhadap isterinya.
Menurut polis, suspek berusia 38 tahun itu membeli pistol semi automatik yang digunakan daripada seorang lelaki warga Thailand beberapa hari sebelum insiden tersebut.
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata siasatan awal menunjukkan suspek membeli pistol itu dengan harga RM5,000.
“Pegawai penyiasat dapati suspek menghubungi warga Thai itu melalui seorang kawan kira-kira dua atau tiga minggu sebelum insiden tembakan.
“Kami percaya dia bertemu penjual dan membeli pistol dua atau tiga hari sebelum insiden,” katanya kepada Malaysiakini.
Menurut Hussein, polis masih menyiasat sama ada mereka berdua berjumpa di Kelantan atau Thailand.
Terdahulu hari ini, laporan Kosmo memetik sumber sebagai berkata pistol Glcok 19 yang digunakan suspek adalah senjata yang baru.
Menurut laporan itu lagi, polis percaya pistol itu tidak pernah digunakan sebelum insiden di KLIA itu.
Pada Ahad lalu, lelaki yang dikenali sebagai Hafizul Hawari didakwa melepaskan dua tembakan ke arah isterinya, yang merupakan seorang pengendali umrah, ketika wanita itu berada di balai ketibaan KLIA. Dia dikatakan sedang menunggu ketibaan jemaah dari Arab Saudi.
Bagaimanapun tembakan tersebut terkena salah seorang daripada dua pengawal peribadi wanita terbabit, menyebabkan dia cedera parah.
Hafizul kemudian dilaporkan meninggalkan KLIA. Dia ditangkap di Kota Bharu, Kelantan kira-kira pukul tiga petang keesokannya.