Kejadian kekejaman tentera Israel terhadap penduduk Palestin terus menjadi tular apabila mereka turut melepaskan anjing terlatih untuk memburu dan mencederakan sesiapa saja, termasuk kanak-kanak dan orang tua.
Ibrahim Jamal Hashash, seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, mengalami cedera parah pada badan dan kepala akibat digigit anjing tentera Israel dalam serbuan di rumah keluarganya di Kem Balata, Nablus, di Tebing Barat.
Kanak-kanak malang tersebut kini terbaring di hospital kerajaan Rafidia akibat cedera yang dideritanya.
Ibu Ibrahim, Amani Hashash berkongsi detik cemas ketika pintu rumah mereka dirobohkan dan anjing tentera mula menerkam anaknya yang ketika itu berada dalam dukungannya sebelum ditarik keluar.
“Kami cuba menghalang anjing tersebut tetapi usaha kami tidak berjaya,” katanya, tentera Israel tidak menunjukkan belas kasihan dan hanya membiarkan anjing itu meneruskan serangannya.
“Jeritan dan tangisan anak saya tidak akan pernah hilang dari ingatan saya,” katanya kepada Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).
Pakar Pembezahan Pediatrik di Hospital Rafidia, Dr Abdel Nasser Bani Odeh menyatakan keadaan Ibrahim masih stabil tetapi perlu dipantau dengan rapi oleh doktor khas.
“Gigitan anjing boleh menyebabkan keradangan kulit atau kecederaan pada tisu, dan kadang-kadang memerlukan pembezahan serta pemindahan kulit bergantung kepada kedalaman kecederaan,” katanya.
Keganasan Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober telah meragut lebih 27,800 nyawa, manakala 67,300 lagi cedera dan ribuan lagi masih belum dikesan.
– Bernama-Wafa