Paramedik Sabreen Obeidi ditembak di bahagian belakang badan semasa serbuan oleh Pasukan Pendudukan Israel di Jenin, Tebing Barat yang diduduki, kata Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS).
“Kejadian berlaku apabila ambulans PRCS menjadi sasaran semasa serbuan oleh pasukan pendudukan di Kem Pelarian Jenin,” katanya di X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter).
PCRS juga menyiarkan gambar cermin belakang ambulans yang berlubang akibat terkena peluru.
Penduduk Palestin berdepan keganasan yang semakin meningkat di Tebing Barat, yang tidak ditadbir Hamas.
Tebing Barat tidak mempunyai hubungan fizikal dengan Gaza, di mana Angkatan Pertahanan Israel (IDF) menjatuhkan lebih 10,000 bom sejak 7 Okt lalu.
Lebih 10,500 orang termasuk sekurang-kurangnya 4,000 kanak-kanak terbunuh di Gaza, menurut kementerian kesihatan Palestin, yang mendorong gesaan antarabangsa agar gencatan senjata dilakukan.
Sejak itu sekurang-kurangnya 163 rakyat Palestin dibunuh tentera Israel di Tebing Barat, manakala kira-kira 2,200 cedera, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.
Agensi PBB di Palestin, UNRWA, juga berkata berlaku peningkatan keganasan oleh peneroka Israel terhadap penduduk Palestin sejak bermulanya pertempuran antara Israel dan Gaza pada 7 Okt lalu.
Ambulans dan konvoi kemanusiaan diserang
Ini bukan kali pertama ambulans PCRS disasarkan dengan peluru hidup di Tebing Barat.
Pada Julai lalu, PCRS berkata empat ambulans disasarkan dengan peluru hidup oleh tentera Israel di Jenin, menyebabkan kerosakan pada ambulans, lapor Al Jazeera.
Ambulans dan konvoi kemanusiaan turut ditembak di Gaza sejak 7 Okt lalu.
Semalam, Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) berkata konvoi kemanusiaan milik badan itu diserang di Gaza City.
ICRC tidak dapat mengenal pasti punca tembakan.
âICRC mengingatkan pihak-pihak terlibat mengenai kewajipan mereka di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa untuk menghormati dan melindungi petugas kemanusiaan pada setiap masa,â katanya.
Pada 3 Nov lalu, serangan udara Israel ke atas konvoi ambulans mengorbankan 15 orang dan mencederakan 60 yang lain, kata PCRS.
Ambulans berkenaan membawa mangsa dari Gaza ke persimpangan Rafah dari Gaza ke Mesir.
Salah satu ambulans menjadi sasaran serangan peluru berpandu yang dilepaskan kira-kira dua meter dari pintu pagar Hospital Al-Shifa.
IDF berkata ambulans berkenaan digunakan oleh pejuang Hamas dan mendakwa mereka yang terbunuh termasuk pejuang kumpulan itu.