Kementerian Komunikasi dan Digital menafikan dakwaan bahawa agensi berita kerajaan – RTM dan Bernama – dilarang membuat liputan terhadap wakil rakyat pembangkang serta ahli parlimen Umno di Sabah.
Timbalan menterinya Teo Nie Ching menjelaskan kedua-dua agensi berita itu telah membuat liputan adil kepada semua pihak termasuk ahli parlimen daripada blok pembangkang.
“Satu contoh yang baik adalah dalam PRK Pulai, Simpang Jeram, Pelangai, Jepak dan Kemaman.
“Berkaitan liputan kepada Umno Sabah, sebanyak 135 jumlah liputan berita oleh RTM berkaitan acara dan aktiviti pemimpin Umno Sabah telah dilakukan dari Januari hingga Oktober 2023,” katanya semasa ucapan penggulungan selepas Ahli Parlimen membahaskan Rang Undang-undang Belanjawan 2024 di Peringkat Jawatankuasa kementerian itu.
Teo menjawab soalan dibangkitkan Suhaimi Nasir (BN-Libaran) yang mendakwa RTM dihalang membuat liputan terhadap Adun dan ahli parlimen pembangkang di Sabah.
Suhaimi berkata, media milik kerajaan tidak sepatutnya digunakan untuk kepentingan peribadi.
Sementara itu, Shahidan Kassim (PN-Arau) turut bertanya apakah kerajaan bercadang membenarkan RTM dan Bernama melaporkan dan memberi liputan berita kepada blok pembangkang.
Menjawab soalan Shahidan, Teo berkata soalan dan perbahasan melibatkan ahli parlimen Arau itu turut diberi liputan oleh Bernama.
“Baru-baru ini pada 25 Oktober di Petaling Jaya, Bernama melalui Wires TV dan radio juga lapor berita mengenai kesatuan olahraga Malaysia, (di mana ahli parlimen) Arau adalah presidennya.
“Ini bukti RTM dan Bernama akan terus beri liputan yang seimbang kepada semua pihak,” jelasnya.