Selepas tular gambar dan video parti liar didakwa berlangsung di sebuah pusat perananginan Pulau Lang Tengah, kerajaan Terengganu hari ini menegaskan mereka akan melakukan siasatan lanjut.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu Razali Idris berkata pihaknya akan memanggil pemilik resort persendirian berkenaan esok bagi memberi penjelasan.
Menurutnya kerajaan Negeri mahu meneliti jawapan daripada pihak premis swasta itu terlebih dahulu sebelum memutuskan sebarang tindakan wajar yang perlu diambil.
“Kerajaan Negeri akan menyiasat perkara ini terlebih dahulu, jika ada kesalahan dari segi peraturan atau apa-apa akta kita akan bertindak.
“Sama ada salah dari segi garis panduan hiburan, pelancongan atau kelulusan permit, itu kami akan teliti,” katanya ketika dihubungi seperti dilaporkan Urus Setia Penerangan Darul Iman.
Terdahulu tular sekeping poster penganjuran acara itu disusuli gambar dan video yang didakwa dipetik dari parti itu.
Ia antara lain memaparkan sekumpulan wanita berpakaian seksi termasuk berbikini di tepi pantai dan turut diisi dengan nyanyian serta tarian.
Ia sekali gus menimbulkan kecaman dan kritikan netizen terhadap kerajaan Terengganu.
Mengulas lanjut, Razali turut menyeru orang ramai menyalurkan sebarang maklumat tentang isu tersebut kepada pihak berkuasa.
“Jika bukti ia menyalahi peraturan atau ada orang beragama Islam terlibat dalam parti itu, boleh salurkan kepada pejabat agama untuk siasatan lanjut.
“Insya-Allah kita pakat jaga dan majukan sektor pelancongan Negeri kita,” katanya yang juga Ketua Penerangan Bersatu.