Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok menerima ugutan bunuh dalam bentuk surat termasuk dua butir peluru yang dihantar ke kediamannya.
Kok melalui hantaran di media sosial berkata dia menemui surat dan peluru itu di dalam peti surat di kondominiumnya malam tadi.
“Semalam bila saya pulang ke kediaman rumah saya dan mengambil surat di peti surat saya, saya dapati ada satu sampul surat yang mengandungi benda yang agak keras di dalamnya.
“Bila saya buka sampul surat dan keluarkan kandungannya, saya mendapati dua butir peluru dan satu kertas putih saiz A4 bertulis:- “C*b**lu Cina?!!! Lu akan mati!!!TUNGGU!!!”
Katanya, surat dan peluru itu juga telah diserahkan kepada polis. Pasukan polis telah memeriksa peti surat di kondominiumnya untuk siasatan lanjut.
Sekarang ahli politik jadi sasaran
Ditanya jika dia tahu sebab di sebalik ancaman yang tidak menyenangkan itu, dia menjawab, “saya juga terkejut mendapat peluru.”
“Ia seolah-olah satu tren untuk menyasarkan polis, Yang di-Pertuan Agong dan sekarang, ahli politik.
“Saya tidak tahu mahu komen apa sekarang kerana saya sibuk dan tiada masa untuk risau tentang kes ini…
Pada hantaran Facebook berasingan, Kok berkata Ketua Polis Daerah Brickfields Ku Mashariman Ku Mahmood dan pegawai penyiasat telah mengadakan perbincangan mengenai perkara itu dengannya petang ini.
“Saya berterima kasih atas keprihatinan KPD Brickfields dan pegawainya terhadap laporan saya.
“Saya yakin polis dapat menjalankan siasatan dengan profesional,” tulisnya dalam catatan itu.