Polis Pahang tidak menemui sebarang usaha untuk menghidupkan semula ajaran sesat Ayah Pin atau Ariffin Muhamad di Pahang, menurut Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman.
Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa pihak polis sentiasa mengawasi bekas pengikut dan anak Ayah Pin yang berada di Negeri ini.
“Polis akan terus mengesan sebarang aktiviti yang cuba menghidupkan semula ajaran tersebut dan tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa yang mencuba menghidupkan semula ajaran yang dianggap sesat,” katanya.
Media hari ini melaporkan dakwaan mengenai usaha untuk menghidupkan semula ajaran Ayah Pin oleh pengikutnya, yang turut menular ke Negeri-Negeri lain termasuk Pahang.
Jawatankuasa Fatwa MAIDAM sebelum ini telah mengeluarkan fatwa yang menyatakan ajaran Ayah Pin sebagai sesat berdasarkan Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986 dan diwartakan haram pada tahun 1997.
Pada April 2016, Ayah Pin meninggal dunia pada usia 74 tahun di Kampung Batu 13, Hulu Besut, Besut Terengganu akibat sakit tua.
– Bernama