PARLIMEN l Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul memberi amaran kepada ahli parlimen kerajaan mahupun pembangkang supaya meninggalkan pertelagahan politik mereka di luar dewan.
Dalam ucapannya pada sesi pemasyhuran sebelum memulakan Sesi Pertanyaan Menteri hari ini, Johari berkata dia dan timbalan-timbalannya, tidak akan bertolak ansur dengan ahli Parlimen mempergunakan Dewan Rakyat sebagai gelanggang untuk menghentam musuh politik mereka.
“Masalah-masalah yang berlaku di luar Dewan (Rakyat) sama ada peperanangan yang berlaku antara parti dengan parti, atau apa-apa juga melalui media sosial, selesaikanlah di luar dan jangan mengheret semua itu ke dalam Dewan (Rakyat).
“Mana-mana YB (ahli parlimen) menggunakan platform ini untuk tujuan mengenakan kawan-kawan, kita akan pastikan mengenakan tindakan sewajarnya,” katanya.
Johari juga mengingatkan ahli Parlimen bahawa mereka telah melafazkan ikrar Rukun Negara di Dewan Rakyat lebih awal hari ini dan oleh itu perlu berusaha untuk mencapai prinsip-prinsip tersebut.
Menurut speaker, ahli Parlimen mesti menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat yang mengikuti persidangan Parlimen melalui pelbagai platform.
“Ahli YB hendaklah sentiasa mempamerkan kematanagn semasa berucap, atau berbahas, termasuk menjaga kesopanan dan kesusilaan seperti yang telah kita ikrarkan tadi.
“Saya dan timbalan-timbalan saya akan tegas bahawa kami tidak akan bertolak ansur lagi dan akan mengambil tindakan sekiranya ahli-ahli YB tidak mematuhi peraturan mesyuarat,” katanya.
Dalam pada itu, Johari turut mengingatkan semua ahli Dewan Rakyat untuk sentiasa mematuhi peraturan sepanjang persidangan.
Katanya, ini selaras dengan Titah Diraja yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15.
Semalam, Sultan Ibrahim menyentuh pelbagai isu, termasuk teguran kepada semua ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Johari turut memperingatkan ahli Parlimen tentang beberapa peruntukan dalam Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang perlu sentiasa dipatuhi.
Antaranya Peraturan 36(8) yang membataskan perbincangan mengenai kelakukan atau sifat Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Yang di-Pertua Negeri atau beberapa kategori jawatan lain.
Selain itu, Peraturan 36(7) yang memperuntukkan nama Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu atau Yang di-Pertua Negeri tidak boleh digunakan untuk mempengaruhi majlis mesyuarat, serta Peraturan 36(10)(c) yang menetapkan kesalahan pada peraturan menggunakan perkataan yang menaikkan perasaan bersakit-sakit atau bermusuh-musuhan antara kaum dalam masyarakat di Malaysia.
Ahli parlimen juga diingatkan supaya tidak melanggar mana-mana syarat dalam Perlembagaan Persekutuan atau Akta Hasutan 1948.