Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan tiada syarikat yang berpangkalan di Israel dibenarkan masuk atau beroperasi di Malaysia.
Katanya, sejak kerajaan perpaduan mengambil alih, syarikat Israel telah dilarang beroperasi. Ini, termasuk pembatalan syarikat perkapalan kargo Israel, Zim daripada memasuki peraiaran negara.
“Yang benarkan 2002 itu yang membenarkan kapal Israel masuk itu adalah Tun Dr Mahathir (Mohamad) bawa Zim (syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel).
“Kita dah batalkan. Dia ada bagi alasan apa-apa pun, kemudian diteruskan sehinggal saya dan jemaah Menteri batalkan.
“Itu pendirian kita, tidak diizinkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Anwar diminta mengulas dakwaan bahawa syarikat perkapalan Israel, Zim telah dan akan dibenar untuk kembali berlabuh di pelabuhan di negara ini.
Sebelum ini, berdasarkan semakan terhadap aplikasi pergerakan perkapalan antarabangsa, Marrine Traffic, sebuah portal berita propembangkang mendakwa kapal kargo Zim Rotterdam yang dimiliki syarikat Israel, Zim Integrated Shipping Services, berlabuh di Pelabuhan Klang pada 29 April lalu.
Ia kemudiannya dikatakan menuju ke Pelabuhan Shantou, China.
Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!