Dua lelaki dan seorang wanita warga emas maut manakala lima yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kunak-Tawau berhampiran Ladang Giram di Kunak petang semalam.
Mangsa Noorhashim Ambutong, 41, Tima Amihusin, 74, dan Alkawi Ali, 30, yang menaiki kereta Proton Iswara disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata enam pegawai serta anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kunak digegaskan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan berhubung kejadian pada 3.20 petang semalam itu.
“Tiga mangsa yang menaiki kenderaan pacuan empat roda dan dua yang menunggang motosikal dilaporkan mengalami kecederaan serta diberi rawatan awal oleh Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dan Pegawai Perubatan KKM di tempat kejadian.
“Kesemua yang cedera dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS dan ambulans manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya menambah operasi tamat pada 4.50 petang.
– Bernama