Tiga remaja ditahan reman bagi membantu siasatan kes penculikan seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun di hadapan SMK Kepong pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, polis menahan suspek selepas ibu mangsa membuat laporan mengenai kejadian itu pada hari yang sama.
“Pada lebih kurang 7 pagi, seorang pelajar perempuan berumur 17 tahun telah ditarik secara paksa di hadapan SMK Kepong dan dibawa ke sebuah homestay sebelum dilepaskan kembali pada jam 12 tengah hari pada hari yang sama.
“Bertindak atas kejadian ini, pada hari yang sama pihak polis menahan dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 19 hingga 20 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut Noor Ariffin hasil siasatan polis mendapati mangsa mengenali salah seorang suspek yang merupakan bekas teman lelaki mangsa.
“Suspek tidak puas hati kerana mangsa memutuskan perhubungan,” katanya.
Tambah Noor Ariffin, pihaknya turut merampas sebuah kereta jenis Toyota dan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR.
“Sepanjang mangsa dilarikan dan dikurung mangsa tidak dicederakan.
“Kesemua tangkapan ini telah dibenarkan tahanan reman selama empat hari bermula semalam hingga 9 Januari,” ujarnya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya secara salah.