Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Tengku Zafrul Abdul Aziz enggan mendedahkan kesilapan fakta yang dimaksudkannya dalam afidavit yang dikemukakan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi bagi menyokong semakan kehakiman Najib Razak.
Sebaliknya, Tengku Zafrul berkata pendiriannya adalah sama seperti mana kenyataan media yang telah dikeluarkan dua hari lalu.
“Seperti yang saya dah sebut dalam kenyataan akhbar dua hari lalu, saya tak ada komen lagi,” katanya ketika ditemui media selepas majlis pelancaran tapak pembinaan Multi- Code Electronics Industries (M) Berhad di Serendah, hari ini.
Ditanya bila dia akan mengemukakan afidavit tambahan seperti dinyatakan dalam kenyataannya sebelum ini, Tengku Zafrul juga enggan mengulas lanjut.
Pada 17 April lalu, Tengku Zafrul mengakui melihat afidavit yang dikemukakan presiden parti itu bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran menjalani hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.
Bagaimanapun Tengku Zafrul menjelaskan ada beberapa “kesilapan fakta” yang terkandung pada dokumen berkenaan.
“Sehubungan itu, saya telah mengambil langkah untuk mendapatkan nasihat undang-undang yang sesuai dan akan membuat permohonan kepada mahkamah tinggi untuk meminta kebenaran bagi memfailkan afidavit saya bagi memperbetulkan beberapa kesilapan fakta yang terkandung dalam afidavit berkenaan,” katanya pada kenyataan.
Tengku Zafrul menegaskan tindakan tersebut bukanlan untuk mempersoalkan merit isu yang sedang berlangsung.
Ahmad Zahid memfailkan afidavit bagi menyokong semakan kehakiman yang dibuat Najib pada 9 April lalu.
Dalam afidavitnya Ahmad Zahid memaklumkan yang dia ada melihat titah adendum Yang di-Pertuan Agong memberi tahanan rumah kepada Najib seperti ditunjukkan Tengku Zafrul kepadanya.