Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberikan sumbangan peribadi kepada waris-waris mangsa nahas pesawat yang terhempas di Lebuhraya Guthrie di Shah Alam, Selangor pada hari Khamis yang lepas. Sumbangan itu telah diserahkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin melalui kunjungan beliau ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah dan Masjid Jamek Ar-Rahimiah di Klang.
Semasa kunjungan tersebut, Zahari juga menyampaikan ucapan takziah daripada Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kepada semua waris dan ahli keluarga yang terlibat dalam kematian mendadak mereka ke Rahmatullah.
“Seri Paduka Baginda berdua turut berdukacita dan menzahirkan harapan agar semua keluarga tabah dan sabar menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu,” begitu kata catatan yang dimuat naik di Facebook Istana Negara.
Dalam gambar yang disertakan, Al Sultan Abdullah turut melawat tapak nahas pesawat sebagai tanda hormat kepada mangsa yang terlibat.
“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” lanjut catatan tersebut.
Dalam insiden yang berlaku pada hari Khamis yang lepas, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor, mengakibatkan 10 individu terkorban, termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar, dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun.
Daripada kesemua individu yang terkorban, enam adalah penumpang dalam pesawat dan dua adalah kru pesawat tersebut. Dua lagi merupakan orang awam yang terlibat, di mana satu adalah penunggang motosikal dan satu lagi merupakan pemandu kereta yang sedang melalui kawasan tersebut pada masa kejadian.
Pesawat tersebut dijadualkan untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) selepas berlepas dari Langkawi. Walaubagaimanapun, pesawat itu terhempas dua minit sebelum tiba di destinasi penamat.
– Bernama