Calon Yang Dipertua Negeri Sarawak telah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mendapatkan perkenan baginda, kata perdana Menteri.
Anwar Ibrahim berkata, dia menyerahkan nama itu kepada istana minggu lalu setelah dikemukakan oleh Premier Sarawak Abang Johari Tun Openg.
“Akan diumumkan mungkin satu dua hari ini,” kata Anwar.
Malam tadi, Pejabat Premier Sarawak menafikan terdapat perbincangan mengenai pelantikan jawatan bergelar tuan yang terutama (TYT) itu.
Tiga hari lalu, Abang Johari berkata pelantikan TYT adalah kuasa mutlak Agong.
Baru-baru ini, Speaker Dewan Negara Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilapor melepaskan jawatannya dan sedang bersiap sedia untuk menyandang jawatan TYT bagi menggantikan Abdul Taib Mahmud.
Sementara itu, Anwar juga berkata pelantikan speaker Dewan Negara baru pula akan dibincangkan oleh sekretariat kerajaan perpaduan malam ini supaya dapat disegerakan.
Abdul Taib, bekas ketua Menteri, dilantik kebagai TYT ketujuh pada 1 Mac 2014, menggantikan Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.