Suara Malaysia
ADVERTISEMENTFly London from Kuala LumpurFly London from Kuala Lumpur
Tuesday, December 24, 2024
More
    ADVERTISEMENTFly London from Kuala LumpurFly London from Kuala Lumpur
    HomeNewsHeadlinesULASAN | Menanti perubahan terpimpin dalam Amanah

    ULASAN | Menanti perubahan terpimpin dalam Amanah

    -

    Fly AirAsia from Kuala Lumpur

    ULASAN | Jika semua ahli Parti Amanah kembali kepada visi perjuangan parti ini, sudah pasti mereka faham bahawa parti ini ditubuhkan dengan matlamat yang jelas iaitu menjadi sebuah parti Islam moderat utama yang menekankan soal keadilan, amanah dan rahmah dalam pendekatan siasah dan doktrin politiknya.

    Prinsip ini tidak akan berubah walau siapa pun yang menerajui pucuk pimpinan parti.

    Perlu kita akui, sesungguhnya jasa tokoh-tokoh awal yang membina teras perjuangan Amanah tidak mampu dibalas sama sekali. Parti yang asalnya bernama Parti Pekerja-Pekerja Malaysia yang ditubuhkan pada 1978, diserahkan kepada kumpulan penggerak Gerakan Harapan Baru.

    Ia seterusnya dijenamakan semula sebagai Parti Amanah Negara yang dilancarkan pada 16 Sept 2015. Parti Amanah telah melalui fasa kedewasaannya dengan pelbagai ujian dan cabaran.

    Apabila PH sekali lagi diberi kepercayaan oleh rakyat untuk mengemudi kepimpinan negara, sudah tentu Amanah juga tidak dapat lari daripada memikirkan kerangka strategi kepimpinan dan pelapis yang bakal meneruskan perjuangan parti serta kerelevennya untuk masa depan.

    Justeru, menjelang pengundian parti bulan ini, perwakilan Amanah akan membuat perhitungan sama ada mengekalkan status quo atau bertukar pucuk pimpinan.

    Demi kelangsungan politik Amanah, proses peralihan tampuk kepimpinan utama parti perlulah diberi perhatian serius.

    Ia tidak hanya dalam kalangan perwakilan atau ahli-ahli parti sahaja bahkan barisan kepimpinan veteran turut bertanggungjawab membuka ruang kepada muka-muka baru agar mereka yang berbakat tidak diketepikan.

    Perlu mendepani naratif PN

    Benar, peralihan pimpinan akan tetap berlaku apabila tiba masanya, namun biarlah perubahan itu berlaku seperti ‘menarik rambut dalam tepung’ saja.

    Perubahan kepimpinan yang dilaungkan bukanlah bermaksud mengetepikan sepenuhnya kepimpinan lama. Formula kombinasi 50-50 atau 60-40 antara muka baru dan muka lama masih diperlukan dalam melaksanakan pembaharuan.

    ALSO READ:  Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi untuk pelajar Islam saja

    Namun demikian, yang harus menjadi agenda utama ahli dan perwakilan adalah mengenal pasti serta memilih wajah-wajah baru yang memiliki kualiti, berkarisma, kuat bekerja, sentiasa turun padang, bijaksana dan berani melakukan perubahan demi kesejahteraan ahli dan parti.

    Budaya memilih golongan yang hanya pandai mengampu dan tidak banyak menyumbang kepada pembangunan parti haruslah dihentikan segera. Parti Amanah bukanlah tempat untuk mereka yang pandai berkata-kata tetapi defisit dari segi strategi selain jarang membantu di peringkat akar umbi.

    Amanah memerlukan bukan sahaja strategi baru, malah pelan tindakan yang komprehensif untuk berdepan dengan PN yang semakin hari semakin cuba memancing masyarakat melalui naratif Melayu-Islam yang kononnya sedang ditindas di bawah pentadbiran PH.

    Amanah perlu menangkis naratif ini sebelum ia menjadi barah yang sukar disembuhkan. Menangani isu-isu nasional seperti ini, Amanah memerlukan kombinasi kepimpinan baru yang membawa idea serta pendekatan yang lebih dekat dengan dinamika politik Malaysia.

    Hakikatnya Amanah tidak kurang dengan barisan kepimpinan yang cemerlang dan berbakat seperti Mujahid Yusof, Mahfuz Omar, Dr Siti Mariah Mahmud, Dr Mohd Hatta Ramli, Khalid Samad, Dzulkefly Ahmad, Faiz Fadzil, Izham Hashim, Adly Zahari, Anfal Shaari, Suhaizan Kaiat dan Sani Hamzan serta ramai yang lain.

    Tidak syak lagi, Amanah sebenarnya memiliki ramai bakat yang boleh ditonjolkan sebagai pemimpin menyerlah. Mereka berupaya membina naratif dan strategi baru untuk menghadapi PRU akan datang, sekali gus mengubah persepsi pengundi teras Melayu yang sinis dan prejudis terhadap Amanah.

    Antara kejayaan yang berjaya memberi imej positif terhadap Amanah ialah saat program Inisiatif Payung Rahmah diperkenalkan oleh Timbalan Presiden Amanah pada ketika itu, Allahyarham Salahuddin Ayub.

    ALSO READ:  Ahli politik didakwa dera pembantu rumah

    Rahmah, Amanah jadi slogan

    Sambutan yang sangat positif dan luar biasa diberikan oleh masyarakat marhaen. Ia sentiasa disebut-sebut mereka sebagai inisiatif yang tidak hanya tepat dalam senario ekonomi semasa, bahkan secara tidak langsung menzahirkan keikhlasan kerajaan membantu rakyat miskin mengurangkan beban kos sara hidup.

    Kita masih tidak dapat melupakan peruntukan RM150 juta kerajaan dan dukungan Perdana Menteri Anwar Ibrahim terhadap Inisiatif Payung Rahmah sehingga mewujudkan ‘jenama Rahmah’ yang menjadi buah mulut masyarakat.

    Ia juga menarik minat pihak industri sehingga mereka berlumba-lumba menawarkan pelbagai pakej atas nama Rahmah.

    Hal ini tidak hanya menaikkan nama kerajaan Madani, malah menyerlahkan lagi sumbangan Amanah dalam pembinaan polisi kerajaan demi kesejahteraan rakyat.

    Inisiatif Rahmah yang sudah menjadi jenama tidak langsung kepada Amanah haruslah diteruskan, malah wajar diberi nafas yang lebih segar agar ia kekal menjadi agenda teras parti dalam setiap programnya.

    Kita mengimpikan pada suatu peringkat yang hampir, Rahmah dan Amanah itu menjadi slogan (tagline) yang sangat kukuh bagi menggambarkan perjuangan teras parti ini.

    Namun, sayang sekali, inisiatif Rahmah itu semakin hari dilihat semakin jauh daripada perjuangan parti.

    Hakikatnya dalam keadaan sekarang mungkin Amanah akan kehilangan produk sangat berharga yang sepatutnya mampu memperkukuh idealismenya.

    Justeru, pada usianya ini, sudah sampai masanya untuk Amanah melaksanakan ‘perubahan terpimpin’ yang menekankan gabungan kepimpinan lama dan baru, serta memberi ruang kepada mereka yang kuat bekerja dan setia untuk menerajui perubahan parti.

    Sama ada suka mahu pun tidak, kita perlu menghadapinya demi kelangsungan perjuangan dan keutuhan Amanah.


    ZULKIFLI MOHAMED ialah Ketua Pengarah Eksekutif Yayasan Rahmah Malaysia.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Suara
    Suarahttps://www.suara.my
    Tech enthusiast turning dreams into reality, one byte at a time 🚀

    Related articles

    ADVERTISEMENTFly London from Kuala Lumpur

    Subscribe to Newsletter

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.

    Latest posts