Universiti Malaya memohon maaf atas insiden yang melibatkan seorang ahli akademik yang berpangkalan di AS, Bruce Gilley yang membuat kenyataan pro-Zionis semasa berucap di kampusnya baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, universiti itu juga memberi jaminan sedang menambah baik prosedur dan garis panduan yang lebih ketat terutamanya semakan latar belakang mana-mana individu atau pihak yang akan bekerjasama termasuklah kajian penilaian risiko profil media sosial.
“UM mengambil maklum saranan Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir dan telah mengambil tindakan serta merta membatalkan sebarang program dan aktiviti yang dijadual
dihadiri penceramah jemputan warga asing tersebut.
“UM berasa kesal dengan kenyataan kontroversi (oleh Gilley) serta tidak menghormati sentimen masyarakat seperti tular di laman media sosial.
“Laporan lengkap berhubung isu ini sedang disediakan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati terlibat dengan isu ini,” kata kenyataan itu.