Umno akan terus berusaha mendapatkan pengampunan diraja untuk bekas presidennya Najib Razak dengan membuat rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong yang baru, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, menurut Lokman Adam.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno tersebut menyatakan demikian selepas mesyuarat khas MKT di Kuala Lumpur hari ini, susulan keputusan Lembaga Pengampunan untuk mengurangkan hukuman ke atas Najib.
“Alhamdulillah, kita menghormati keputusan telah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong (Sultan Abdullah) dan Lembaga Pengampunan. Namun, kita bersedih kerana Najib tidak diberikan pengampunan penuh.
“Umno akan terus berusaha dan kita akan kumpul tandatangan (ketua bahagian Umno) dari seluruh negara untuk merayu kepada Yang di-Pertuan Agong agar mempertimbangkan sekali lagi pengampunan diraja ke atas Najib,” katanya.
Sebelum ini, Lembaga Pengampunan mengumumkan hukuman penjara Najib dikurangkan dari 12 tahun kepada enam tahun, dan denda dikurangkan dari RM210 juta kepada RM50 juta.
[Berita lanjut menyusul]