Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan bahawa parti itu, selesa bekerjasama dalam kerajaan perpaduan yang diterajui oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Justeru, beliau yang juga merupakan timbalan perdana Menteri dan pengerusi BN, tidak timbul persoalan mengenai penyertaan dalam Perikatan Nasional (PN).
“Bagi kami, kami selesa dengan penglibatan kami dalam kerajaan perpaduan, dan jangan buang masa jemput kami menyertai PN,” katanya mengulas saranan pembangkang agar Umno menyertai PN.
Zahid berkata demikian kepada media selepas majlis penutup Kejohanan Sukan Majlis Kebajikan dan Sukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) (MAKSPEN) XIV di Putrajaya, semalam.
Sabtu lalu, Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris berpandangan penyertaan Umno dalam PN dapat menubuhkan kerajaan Persekutuan baharu yang antara lain bertujuan membantu masyarakat Melayu Islam di negara ini.
Ahmad Zahid berkata kerajaan hari ini tidak hanya bertanggungjawab terhadap masyarakat Melayu dan Islam, malah kepada keseluruhan rakyat Malaysia.
Dalam perkembangan lain, Zahid berkata, BN menerusi Umno akan meletakkan anak kelahiran Kemaman, Terengganu sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini.
Menurutnya, Umno telah menerima beberapa nama sebagai calon dan nama-nama tersebut akan disenarai pendek dalam masa terdekat.
“Yang pastinya kami akan mengambil tokoh anak Kemaman yang berada di peringkat nasional atau di peringkat Negeri untuk bertanding bagi PRK Kemaman,” katanya.
Dia berkata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu yang juga Pengarah Jentera BN bagi PRK Parlimen Kemaman Ahmad Said akan mengumumkan nama calon yang terbabit.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kemaman, Terengganu pada 2 Disember ini, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 18 November dan 28 November.
PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).