Walaupun telah mencapai kemerdekaan, negara-negara Islam hilang integriti akibat mengekalkan undang-undang penjajah, kata Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
Abdul Hadi berkata para pejuang kemerdekaan suatu ketika dahulu telah meletakkan batu asas dalam Perlembagaan Persekutuan, di mana Islam sebagai agama bagi Persekutuan; manakala agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.
Namun semenjak itu katanya, banyak pindaan undang-undang dibuat dengan meninggalkan syariat Islam dan munculnya hakim yang mewarisi pemikiran penjajah.
“Dahulunya, ada daripada kalangan para hakim yang bijaksana seperti Almarhum Tun Salleh Abas, Almarhum Tan Sri Harun Hashim dan lain-lain.
“Ada yang masih hidup seperti Tun Abdul Hamid, Tun Ahmad Fairuz dan lain-lain yang menggunakan kebijaksanaan mereka untuk menjaga dan mempertahankan syariat buat sementara waktu mengikut mafhum yang ada dalam keimanan di hati mereka kepada Islam. Mereka tidak melayan tindakan-tindakan yang mahu menyingkirkan syariat Islam.
“Namun demikian, kini muncul kalangan hakim yang ‘bijaksini’ (bukan bijaksana) yang kepala dan akalnya dipengaruhi oleh tulisan warisan penjajah,” kata Abdul Hadi.
Menurut Abdul Hadi, umat Islam yang mempertahankan kedaulatan agama itu, wajib bangkit menentang usaha yang ‘zalim dan menyesatkan mereka’ daripada Islam yang sebenar.
“Hal ini demikian kerana dosa menghina Islam lebih besar daripada dosa menghina mahkamah yang sebenarnya hina di hadapan Allah,” ujarnya.