Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) akan mengemukakan cadangan mekanisme pembayaran semula 40 peratus hasil Persekutuan di Sabah dalam pertemuan dengan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Selasa ini.
Presidennya Datuk Ewon Benedick berkata cadangan itu adalah hasil perbincangan pemimpin Upko bersama beberapa pakar termasuk peguam, bekas majistret serta pakar perakaunan, percukaian dan pengauditan.
“Perbincangan bagi menentukan mekanisme (pembayaran 40 peratus) perlu dibuat di antara kerajaan Sabah dan Persekutuan. Justeru kita akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan Negeri pada Selasa ini.
“Kita perlu tampil dengan satu mekanisme yang memudahkan semua pihak (kerajaan Persekutuan dan Negeri) untuk melaksanakan apa yang tertunggak sejak 1974,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan rumah terbuka Krismas dan Tahun Baharu 2024 anjuran UPKO di Telupid.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berharap kerajaan Negeri akan mengemukakan mekanisme baharu kepada kerajaan Persekutuan dan seterusnya mendapat maklum balas positif.
“Kita maklum ramai pemimpin dari Sabah pernah duduk di dalam kabinet Persekutuan dan pada saya, ini satu tanggungjawab besar, sebab itu saya mengambil inisiatif sendiri dengan sokongan parti untuk mencari cadangan mekanisme untuk perkara ini,” katanya.
Mengenai kemasukan semula bekas pemimpin dan ahli parti itu ke dalam UPKO, Ewon berkata parti itu sentiasa terbuka dan mengalukan sesiapa sahaja yang ingin menyertai parti itu terutama dalam kalangan belia.
– Bernama