Suara Malaysia
ADVERTISEMENTFly London from Kuala LumpurFly London from Kuala Lumpur
Tuesday, December 24, 2024
More
    ADVERTISEMENTFly London from Kuala LumpurFly London from Kuala Lumpur
    HomeNewsHeadlinesUsaha kamuskan bahasa Mendriq bermula

    Usaha kamuskan bahasa Mendriq bermula

    -

    Fly AirAsia from Kuala Lumpur

    Suasana di ruang solat sebuah surau kecil di Kampung Lah di Gua Musang, hingar  bingar, namun tidak berbekas pada seorang wanita yang begitu asyik merenung perananti pintar di tangan, seolah-olah ralit dalam dunianya sendiri. Jari jemari lincah menekan aksara pada skrin sambil bibir yang dioles lipstik merah terkumat-kamit. Seketika kemudian jarinya terhenti menekan, kepala diangkat dan matanya melingas, meninjau sekeliling.

    “Tuan, boleh bantu saya?” pintanya kepada seorang lelaki yang sebelum itu mundar-mandir dalam kalangan hadirin di surau tersebut. Pemilik nama Ida Terang itu adalah antara 20 orang daripada suku Mendriq, komuniti Orang Asli yang bahasanya diancam kepupusan, dan mereka terpilih bagi membantu usaha memartabat serta memelihara bahasa tersebut. Memanfaatkan teknologi, tugas Ida dan peserta lain ialah memasukkan istilah bahasa Mendriq berserta makna bahasa Melayu dalam Wikikamus, kamus dalam talian kendalian Wikimedia Malaysia yang melaksanakan inisiatif itu susulan laporan eksklusif Bernama bertajuk “Bahasa Mendriq Dijangka Pupus 20 Tahun Lagi”, pada Jun lepas.

    “Saya berasa amat gembira sebab tidak sangka ada pihak yang berminat untuk mengetahui lebih mendalam tentang bahasa kami dan berusaha memeliharanya dengan menyimpan bahasa kami dalam kamus. “Saya rasa langkah ini bukan sahaja dapat menjamin masa depan bahasa kami tetapi juga memudahkan ahli masyarakat, sama ada dalam kalangan kami sendiri atau orang luar, mengakses bahasa Mendriq,” katanya.

    Bekerja sebagai guru agama, Ida dan 19 lagi peserta berusia antara 20 hingga 50 tahun, “berkampung” selama dua hari di surau itu baru-baru ini, mengikuti bengkel anjuran Wikimedia Malaysia dan sukarelawan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Ibu kepada dua orang anak yang masih kecil itu mengakui agak mencabar baginya untuk menguasai teknologi telefon pintar tersebut, namun isu berkenaan tidak menghalangnya untuk menyumbang demi kelangsungan bahasa ibunda. Berjaya memasukkan 30 perkataan dalam masa sejam, wanita berusia 33 tahun itu berkata dia akan terus berusaha memasukkan lebih banyak perkataan dari semasa ke semasa.

    Bernama yang turut menghadiri bengkel berkenaan mendapati peserta begitu bersemangat untuk membantu, dengan masing-masing – ada yang membawa cucu – datang seawal 9 pagi sekalipun bengkel dijadualkan pada 10 pagi. Sepanjang dua hari itu, Wikikamus berjaya menyimpan 340 patah perkataan dan 107 klip audio sebutan bahasa Mendriq.

    Dalam laporan Jun lepas, warga tua suku Mendriq meluahkan keresahan tentang masa depan bahasa suku kaum mereka. Kata mereka, bahasa itu diancam kepupusan kerana jumlah penutur semakin berkurang. Lebih parah, golongan muda mereka juga tidak lagi mengutamakan bahasa Mendriq dalam percakapan harian, sebaliknya selesa berbahasa Melayu loghat Kelantan. Komuniti mereka juga semakin mengecil, iaitu cuma sekitar 600 orang ketika ini, dan Mendriq yang merupakan subkumpulan Orang Asli Negrito, hanya ditemukan di tiga lokasi di Kelantan, iaitu Kampung Lah di sini dan Kampung Pasir Linggi serta Sungai Tako di Kuala Krai.
    “`
    [Di Semenanjung Malaysia, terdapat tiga kumpulan Orang Asli iaitu Senoi yang mewakili 55.09 peratus, Melayu Proto (41.97 peratus) dan Negrito (2.94 peratus). Di bawah keluarga Senoi ada suku Temiar, Semai, Jah Hut, Che Wong, Semoq Beri dan Mah Beri, sementara Melayu Proto dibentuk oleh etnik Temuan, Jakun, Semelai, Orang Kanaq, Orang Seletar dan Orang Kuala. Kumpulan Negrito pula terdiri daripada Kensiu, Kintaq, Jahai, Mendriq, Lanoh dan Bateq]

    ALSO READ:  No food poisoning outbreak in Semporna, says Shafie

    “Luar jangkaan.” Demikian respons Bendahari Kumpulan Komuniti Pengguna Wikimedia Malaysia Mohd Taufik Rosman apabila ditanya tentang semangat masyarakat suku Mendriq terhadap usaha tersebut. Tidak menyangka usaha pertama itu membuahkan hasil, beliau berkata pelbagai aktiviti diatur sepanjang dua hari program diadakan dengan penekanan adalah pada usaha memesrakan penduduk dengan platform dalam talian yang digunakan, selain diajar menulis rencana pendek, memasukkan gambar dan audio sebutan perkataan.

    Mengulas tentang cabaran yang dihadapi, beliau mendapati peserta muda boleh berbahasa Mendriq namun tidak lancar selain sudah bercampur dengan bahasa Orang Asli Temiar yang tinggal di kampung berhampiran. “Oleh itu, kami gandingkan peserta muda dan berusia agar dapat memastikan perkataan yang didokumenkan tersebut tepat. Kebanyakan orang muda ini tidak begitu tahu perkataan berkaitan alam sekitar seperti bukit, pokok dan kosa kata mereka juga tidak luas,” tambah Mohd Taufik. Selain itu, isu ejaan juga turut mengekang proses dokumentasi. Disebabkan oleh bahasa Mendriq adalah bahasa lisan yang tidak pernah dibukukan, maka amat sukar untuk mendapatkan ejaan yang tepat, katanya.

    Beliau berkata bagi mengatasi masalah itu, Wikimedia Malaysia mengundang Prof Madya Dr Fazal Mohamed Sultan, pensyarah di Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia yang pernah membuat kajian tentang bahasa Mendriq, sebagai pakar rujuk. “Apabila kita hendak mengamuskan sesuatu perkataan, langkah paling penting ialah memastikan ejaannya tepat kerana perkataan tersebut akan menjadi rujukan generasi akan datang. Atas sebab itulah aspek ini amat penting,”  kata Mohd Taufik.

    Menurutnya, antara perkataan yang sukar dieja ialah “kenmoh” atau “kermoh” bermaksud “nama” kerana sebutan dalam kalangan orang Mendriq itu sendiri juga berbeza. “Perkataan seperti ‘nes’ (tikar) juga sukar dieja kerana disebut dalam nada sengau,” ujar beliau. Turut menjadi cabaran ialah mengenal pasti golongan kata, sama ada kata nama, kata kerja, kata adjektif atau kata tugas.

    ALSO READ:  Budget 2025 advances with Madani Economy, says Nga Kor Ming

    “Selain itu, mereka juga sukar menulis karangan yang agak panjang, walaupun tajuk sekadar ‘Ini Rumah Saya’,” tambah beliau. Biarpun berdepan kesukaran – memahirkan diri dengan teknologi dan juga proses memasukkan perkataan dalam kamus – tidak ada peserta yang patah semangat. Malah, kata Mohd Taufik, para peserta, baik tua ataupun muda, menunjukkan kepuasan dan kegembiraan apabila berjaya melaksanakan tugas mereka.

    Bagi memastikan keberkesanan usahanya, Wikimedia Malaysia turun padang, berkunjung dari rumah ke rumah suku Mendriq bagi mengumpul lebih banyak perkataan daripada mereka yang tidak dapat hadir pada bengkel itu. Ditanya sama ada usaha itu terus mendapat sambutan selepas bengkel tersebut, beliau berkata semakan mendapati ada tambahan perkataan baharu dalam Wikikamus. “Kami tinggalkan nombor telefon sukarelawan untuk mereka hubungi jika ada masalah semasa masukkan perkataan dalam Wikikamus. Kami seboleh-bolehnya tidak mahu usaha dan semangat mereka ini hanya separuh jalan, sebab benda berkaitan teknologi kadang-kadang mengelirukan atau lupa, dan jika tidak ada pihak membantu, kemungkinan mereka akan hilang minat,” jelasnya.

    Menurut beliau lagi, Wikimedia Malaysia merancang untuk mengadakan usaha itu dalam skala lebih besar pada masa akan datang selain melakukan promosi secara berterusan. Sementara itu, Penghulu Kampung Lah, Ali Lateh memberitahu Bernama yang beliau tidak menyangka luahan mereka lima bulan lalu mendapat perhatian pihak berwajib. “Pastinya kami gembira kerana bahasa kami sekarang sudah boleh diakses oleh seluruh rakyat di dunia yang mahu mengetahui lebih lanjut tentang bahasa Mendriq,” katanya.

    Kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi kenyataan balas terhadap laporan Bernama yang bertarikh 26 Jun itu, berkata pihaknya akan mengenal pasti  Orang Asli Mendriq dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), agar tradisi dan bahasa mereka dapat dipertahankan. Jelas KPM, Jabatan Pendidikan Negeri dengan pihak sekolah turut mengadakan pelbagai aktiviti yang mampu memelihara bahasa suku kaum itu seperti pertandingan bercerita bahasa Mendriq di sekolah dalam aktiviti koakademik.

    “KPM telah memperkenalkan Program Jom Belajar merangkumi Program Khas Murid Orang Asli (Prokhas) dan Chup Badui Sikulah (CBS) pada 2020 yang bertujuan menyediakan pendidikan asas serta memantapkan penguasaan kemahiran asas 3M, iaitu membaca, menulis dan mengira buat murid Orang Asli yang tidak pernah bersekolah.

    ALSO READ:  Guatemala to accept 135 political prisoners in Nicaragua, US says

    “Kita juga melaksanakan Program Pemerkasaan Pelaksanaan Kurikulum (KPMPerkasaKU) untuk memastikan pembelajaran pemulihan bagi murid yang belum menguasai literasi dan numerasi di semua sekolah, termasuk di sekolah Orang Asli dan pribumi,” demikian menurut kenyataan itu.

    Kementerian itu juga berkata pihaknya komited dalam memberikan pendidikan terbaik kepada semua murid termasuk daripada komuniti Orang Asli. Antara pendekatan yang diambil ialah mengadakan sesi libat urus membabitkan agensi kerajaan seperti Jakoa, Jabatan Kesihatan Negeri serta ibu bapa, ketua komuniti dan badan bukan kerajaan serta tok batin, bagi memberikan kesedaran akan kepentingan pendidikan kepada masyarakat Orang Asli. Untuk rekod, hingga Jun tahun ini, seramai 153 pelajar daripada Orang Asli kaum Mendriq telah mendapat pendidikan di sekolah rendah dan menengah sekitar Kuala Krai dan Gua Musang, Kelantan, merangkumi 80 murid sekolah rendah dan 73 pelajar sekolah menengah.

    Jakoa komited Sementara itu, menurut Ketua Pengarah Jakoa Datuk Sapiah Mohd Nor, agensi tersebut telah menerbitkan kamus bagi tiga bahasa komuniti Orang Asli terbesar, iaitu  Melayu-Proto, Negrito dan Senoi dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka pada 2011. Bagaimanapun penerbitan kamus untuk jualan ditangguhkan disebabkan oleh kekangan peruntukan, katanya, menambah masalah tersebut tidak akan menghalang usaha Jakoa untuk memulihara dan mempertahan pengetahuan tradisional serta warisan bahasa Orang Asli.

    “Jakoa tidak ada peruntukan khusus bagi mengekalkan bahasa Mendriq kerana terdapat lebih 18 bahasa Orang Asli lain di Malaysia, Mengikut data Jakoa, kaum Mendriq berjumlah 532 orang dengan kebanyakannya menetap di Gua Musang,” katanya. Sehubungan itu, Sapiah berkata pihaknya amat mengalu-alukan usaha pihak lain termasuk agensi kerajaan yang ingin bekerjasama bagi memartabatkan bahasa Mendriq.- Bernama

    Suara
    Suarahttps://www.suara.my
    Tech enthusiast turning dreams into reality, one byte at a time 🚀

    Related articles

    ADVERTISEMENTFly London from Kuala Lumpur

    Subscribe to Newsletter

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.

    Latest posts